Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak, telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Setiausaha Keterjaminan Makanan dan Penyelidikan Kebangsaan Pakistan, Amer Ali Ahmed, dekat sini, baru-baru ini.
KPKM dalam satu kenyataan berkata, pertemuan julung kali ini diadakan bagi memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka potensi kerjasama dalam sektor pertanian dan Keterjaminan makanan.
“Kehadiran delegasi ini adalah bersempena dengan penyertaan Pakistan dalam Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026.
“Jumlah perdagangan produk pertanian Malaysia-Pakistan mencatatkan nilai RM4.40 bilion sehingga Disember lalu. Malaysia mengeksport minyak sawit, makanan ternakan serta produk kopi, koko, teh dan rempah ke Pakistan, sementara import dari negara tersebut pula terdiri daripada beras, bijirin dan produk berasaskan bijirin, ikan, krustasea dan moluska, di samping baja, ”kata kenyataan itu.
Katanya, pertemuan ini membincangkan potensi kerjasama perdagangan dan pembukaan pasaran baharu antara kedua-dua buah negara.
“Perbincangan merangkumi aliran eksport-import pelbagai komoditi pertanian dan ternakan seperti beras, produk daging dan unggas, serta produk ruminan dengan penekanan terhadap pematuhan piawaian Sanitari dan Fitosanitari (SPS) yang telah ditetapkan.
“Selain komoditi makanan asas, ruang penerokaan pasaran turut diperluas kepada pembekalan produk gelatin halal serta pemasaran vaksin haiwan berasaskan keupayaan penyelidikan dan pengalaman perdagangan antarabangsa sedia ada, ”katanya lagi.
Tambahnya, pada penutup pertemuan, pihak Pakistan menjemput KPKM untuk menghadiri Pakistan Culinary Showcase yang diadakan pada 25 September bersempena dengan 22nd Malaysia International Halal Showcase di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, Dato’ Sri Norazman Ayob; pegawai kanan KPKM dan jabatan di bawahnya, serta wakil dari Kementerian Luar Negeri (KLN).- SUARA.TV



