MUMBAI,– Import minyak sawit Malaysia oleh India meningkat 40 peratus kepada lebih 2.26 juta tan dalam tempoh lapan bulan pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, mencerminkan pengukuhan hubungan perdagangan kedua-dua negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, India kekal sebagai pembeli terbesar minyak sawit Malaysia selama 13 tahun berturut-turut, dengan hubungan itu terus diperkukuh melalui keyakinan terhadap bekalan dan keupayaan industri negara.
Menurutnya, pencapaian tersebut bukan sekadar mencerminkan peningkatan perdagangan, sebaliknya menunjukkan kepercayaan yang dibina selama bertahun-tahun antara Malaysia dengan India.
“Perkongsian ini dibina dengan sabar selama bertahun-tahun. Itulah sebabnya hubungan ini kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan global.
“Kementerian saya, bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia, akan terus memupuk dan memperkukuh hubungan penting ini,” katanya dalam ucaptama pada Globoil India 2026 di The Westin Mumbai Powai Lake, di sini, hari ini.
Noraini berkata, Malaysia komited untuk terus menjadi rakan dagang yang dipercayai, dengan peranannya melangkaui pembekalan minyak sawit kepada usaha menyokong keterjaminan makanan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang India.
Beliau berkata, dengan penduduk berjumlah 1.46 bilion orang, peningkatan pendapatan dan perkembangan pesat ekonomi pengguna, India akan terus mempengaruhi permintaan global terhadap minyak makan.
Permintaan itu, katanya, bukan sahaja datang daripada isi rumah, malah turut didorong sektor pemprosesan makanan, hospitaliti dan kegunaan industri.
“Malaysia bersedia menyokong pertumbuhan ini melalui bekalan minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang boleh diharap serta dihasilkan secara mampan,” katanya.
Mengulas prestasi industri negara, Noraini berkata, pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia mencapai rekod 20.28 juta tan pada 2025, manakala eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit menjana pendapatan kira-kira AS$28.1 bilion.
Menurutnya, lebih 80 peratus pengeluaran dieksport, sekali gus memperlihatkan kepentingan peranan Malaysia sebagai pembekal jangka panjang kepada pasaran utama seperti India.
Beliau berkata, kecekapan tanaman sawit turut menjadi kelebihan apabila mampu menghasilkan kira-kira 3.3 tan minyak sehektar, berbanding sekitar 0.5 tan bagi kacang soya serta 0.8 tan bagi bunga matahari atau biji sesawi.
Keupayaan itu, katanya, semakin penting ketika negara-negara berusaha mengimbangi peningkatan permintaan makanan dengan penggunaan tanah secara bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Noraini mengajak pemain industri kedua-dua negara memperluas kerjasama daripada perdagangan minyak sawit mentah dan bertapis kepada sektor hiliran yang menawarkan nilai tambah lebih tinggi.
Katanya, Malaysia mempunyai rantaian nilai bersepadu merangkumi penapisan, oleokimia, lemak khusus dan pelbagai ramuan makanan yang mampu memenuhi keperluan pengilang serta pembeli India.
“Saya percaya perkongsian kita boleh berkembang daripada hubungan yang tertumpu terutamanya pada jumlah dagangan kepada hubungan yang mewujudkan nilai lebih besar untuk kedua-dua negara.
“Malaysia bukan sahaja boleh menjadi sumber bekalan yang dipercayai, malah rakan dalam menyokong pertumbuhan industri India,” katanya.
Beliau berkata, kajian pasaran oleokimia berasaskan sawit di India yang ditauliahkan Majlis Minyak Sawit Malaysia tahun lalu menunjukkan peningkatan permintaan terhadap ramuan bagi produk penjagaan rumah dan penjagaan diri.
Menurutnya, pengalaman Malaysia dalam oleokimia serta bahan hiliran berasaskan sawit, digabungkan dengan skala pasaran dan keupayaan pembuatan India, membuka peluang pelaburan bersama serta pembangunan produk baharu.
Noraini turut menegaskan bahawa kemampanan merupakan komitmen negara dan asas kepada masa depan industri sawit Malaysia.
Katanya, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang diwajibkan di seluruh rantaian nilai sejak 2020, merangkumi amalan bebas penyahhutanan, pemilikan tanah yang sah, kebolehkesanan dan amalan buruh bertanggungjawab.
Beliau berkata, pembangunan industri akan terus dipacu melalui peningkatan produktiviti, percepatan penanaman semula serta pengurusan lebih baik terhadap tanah yang sudah diusahakan.
Usaha itu turut merangkumi penukaran efluen kilang kepada biogas dan sisa sawit kepada baja bio serta produk berguna lain, selain penggunaan mekanisasi, automasi dan pemantauan digital.
Noraini berkata, Malaysia juga menyokong aspirasi India menerusi Misi Nasional Minyak Makan – Kelapa Sawit, dengan kerjasama antara syarikat kedua-dua negara terus berkembang.
Beliau menambah, pertukaran teknikal, kajian bersama dan dialog berkala antara persatuan industri serta institusi penyelidikan boleh memperkukuh hubungan tersebut.
“Matlamat kita adalah supaya hubungan ini mewujudkan peluang lebih besar untuk perniagaan, industri dan rakyat di kedua-dua negara,” katanya.



