PASIR GUDANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita 637 tan biji koko bernilai kira-kira RM11.8 juta dari Uganda selepas mendapati dagangan itu dibawa masuk dengan dokumen tidak lengkap dan mencurigakan.
Menurut kenyataan AKPS, barangan berkenaan dikesan dalam pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasanya di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor, kira-kira jam 3.50 petang pada 3 Oktober lalu.
Pemeriksaan menemukan 9,100 guni biji koko dengan berat keseluruhan 637,000 kilogram dan anggaran nilai RM11,886,444.72.
“Barangan ini didapati dibawa masuk dengan dokumen yang tidak lengkap dan mencurigakan. Oleh itu, semua barangan dagangan ini telah ditahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
AKPS menegaskan, sebarang perbuatan atau cubaan mengisytiharkan maklumat bercanggah di pintu masuk negara merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Menurut agensi itu, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman yang dinyatakan ialah denda tidak melebihi RM75,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
AKPS turut menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu dan akan terus melaksanakan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian serta memastikan pematuhan terhadap syarat dan peraturan kerajaan.



