Setiausaha bukan DKU, kenyataan bercanggah – Undang Yang Empat asal dan Tunku Besar Tampin

SEREMBAN — Undang Yang Empat asal dan Tunku Besar Tampin menyanggah perutusan yang dikeluarkan atas nama Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 4 Oktober, dengan mendakwa penjelasan itu bercanggah dengan rekod rasmi dewan sendiri serta gagal menafikan bahawa siasatan berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz telah dilaksanakan.

Dalam ulasan bersama bertarikh hari ini, mereka turut mempertikaikan asas perutusan tersebut untuk menolak keputusan Undang Yang Empat, termasuk berhubung kedudukan penyandang jawatan Undang, tatacara siasatan di bawah Perkara 10 serta kesan proklamasi yang ditandatangani Menteri Besar pada 3 Ogos lalu.

“Perutusan itu gagal kerana tiga sebab. Ia disanggah oleh surat rasmi DKU sendiri. Ia bercanggah dengan dirinya sendiri. Ia juga menambah syarat yang tidak ada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” menurut kenyataan itu.

Ulasan sepanjang 11 halaman tersebut dikeluarkan atas sabda dan perkenan Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof bin Haji Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed bin Haji Abdullah; serta Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin.

Turut bersama ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman bin Syed Idrus Al-Qadri.

Menurut kenyataan itu, sanggahan mereka bersandarkan teks Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) dan beberapa dokumen yang dikenal pasti, antaranya surat Setiausaha DKU bertarikh 7 Julai 2025, notis mesyuarat 15 April 2026, kenyataan media Menteri Besar pada 17 April serta Sabda Perkara 10 dan Perkara 11 bertarikh 19 April 2026.

Dokumen lain yang dirujuk termasuk penafian bermeterai pada 20 April, proklamasi yang ditandatangani pada 3 Ogos dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 15 September.

Mereka mendakwa rekod tersebut menunjukkan percanggahan ketara antara pengiktirafan DKU terhadap penyandang jawatan Undang sebelum ini dengan pendirian yang dikemukakan dalam perutusan 4 Oktober.

Berhubung Undang Luak Jelebu, kenyataan itu mempersoalkan dakwaan bahawa penyandangnya telah diberhentikan sejak 31 Mei 2023, sedangkan beliau masih menghadiri sidang DKU pada 4 Julai 2025 dan dipanggil sebagai Undang Luak Jelebu dalam notis bertarikh 15 April 2026.

Menurut mereka, jika dakwaan pemberhentian sejak 2023 diterima, timbul persoalan mengapa dewan terus bersidang dengan beliau dan mengundangnya atas kapasiti Undang dalam tempoh selepas tarikh tersebut.

Bagi Undang Luak Rembau pula, mereka mendakwa surat Setiausaha DKU pada 7 Julai 2025 jelas menyatakan dewan mencapai persetujuan untuk menerima dan mengiktiraf pelantikannya, berkuat kuasa pada 4 Julai tahun sama.

Justeru, mereka menolak gambaran bahawa dewan sekadar mengambil maklum pelantikan itu atau bahawa tarikh kuat kuasanya masih tertakluk kepada Majlis Mengadap.

Mengenai Undang Luak Sungei Ujong, kenyataan itu merujuk notis mesyuarat 15 April yang, menurut mereka, menyatakan tujuan mesyuarat adalah untuk mendengar laporan aduan terhadap Dato’ Mubarak.

Mereka mempersoalkan bagaimana perkara itu boleh diselaraskan dengan dakwaan bahawa beliau telah pun diberhentikan oleh luaknya pada 13 Mei 2025.

Kenyataan tersebut turut mendakwa tiga daripada empat ahli yang hadir pada sidang 17 April menentang keputusan berkenaan, manakala Undang Luak Johol, yang menghadiri sidang itu, telah mengesahkan menerusi kenyataan medianya bahawa tiada keputusan dibuat pada hari tersebut untuk memecat Undang Luak Sungei Ujong.

Mereka juga mendakwa Undang yang menjadi subjek aduan tidak diberikan notis dan tidak didengar, sementara minit sidang yang dirujuk masih tidak ditunjukkan.

Dalam isu siasatan atau “enquiry”, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menegaskan perutusan 4 Oktober tidak menafikan bahawa tiga pertanyaan telah diajukan secara berdepan kepada Tuanku Muhriz pada 5 Mac 2026.

Menurut mereka, perutusan itu hanya menyatakan tiada siasatan direkodkan dan tiada rekod berada dalam simpanan Setiausaha Dewan, bukannya menafikan pertanyaan tersebut pernah dikemukakan.

Mereka berhujah bahawa Perkara 10(1) memperuntukkan siasatan penuh dan lengkap oleh Undang, dan bukannya siasatan oleh DKU.

Sehubungan itu, menurut tafsiran mereka, ketiadaan catatan dalam rekod Setiausaha Dewan tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa siasatan oleh Undang tidak berlaku.

Kenyataan itu menyebut Sabda 19 April yang ditandatangani dan dimeteraikan oleh keempat-empat Undang telah merekodkan bahawa sidang dan penyiasatan lengkap serta menyeluruh berlangsung pada 5 Mac.

Mereka menjelaskan proses berkenaan melibatkan pertanyaan terus kepada Tuanku Muhriz, pertimbangan selama 45 hari dan keputusan sebulat suara.

Menurut kenyataan itu lagi, Tuanku Muhriz diberikan peluang menjawab sendiri pertanyaan yang dikemukakan, sekali gus, pada pendirian mereka, memenuhi hak untuk didengar.

Mereka turut menolak dakwaan bahawa siasatan itu wajib memenuhi tatacara tertentu seperti notis bertulis, butiran dakwaan, pemeriksaan saksi dan alasan bertulis, dengan alasan syarat berkenaan tidak dinyatakan secara nyata dalam teks Perkara 10.

Dalam hubungan itu, mereka mempertahankan pendirian bahawa kaedah pelaksanaan siasatan merupakan prerogatif Undang Yang Empat, dengan merujuk Perkara 29 dan Perkara 79 UUTKNS.

Pada masa sama, kenyataan tersebut mempertikaikan kesahan sidang DKU pada 31 Julai 2026 yang dikatakan menjadi sandaran bagi pendirian terhadap Undang Jelebu, Undang Rembau dan Dato’ Shahbandar.

Mereka mengemukakan dua alasan, iaitu pendirian mereka bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta pada 19 April, serta dakwaan bahawa sidang berkenaan tidak mempunyai kuorum mencukupi.

Menurut kenyataan itu, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar tidak menghadiri sidang 31 Julai, manakala perutusan yang disanggah tidak mendedahkan senarai kehadiran.

Mereka turut mendakwa sidang itu mengubah keanggotaan dewan selepas tarikh keadaan asal atau status quo yang dipelihara menerusi perintah mahkamah pada 5 Jun.

Berhubung Perkara 29, kenyataan itu mempertahankan bahawa Sabda 19 April memenuhi kehendak peruntukan tersebut berdasarkan kedudukan penyandang jawatan ketika kuasa dilaksanakan.

Mereka berhujah bahawa nasihat atau keputusan yang dikemukakan kemudian tidak boleh digunakan untuk mengubah secara kebelakangan kedudukan Undang pada 19 April.

Mengenai proklamasi pula, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menolak tafsiran bahawa tandatangan Menteri Besar memberikan kuasa veto terhadap keputusan mereka.

Menurut tafsiran yang dikemukakan, kewajipan mengeluarkan proklamasi di bawah Perkara 10(2) menyusuli penurunan takhta, bukannya mewujudkan kuasa kepada Menteri Besar untuk membatalkan keputusan Undang.

“Proklamasi mengumumkan sesuatu yang sudah berlaku. Ia tidak boleh menjadi syarat kepada perkara yang diumumkannya,” menurut kenyataan itu.

Mereka menyatakan dokumen proklamasi telah dihantar kepada Menteri Besar pada 20 April, sehari selepas Sabda dikeluarkan.

Kelewatan tandatangan, menurut dakwaan mereka, berpunca daripada keengganan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Utama Aminuddin, menandatangani dokumen berkenaan.

Mereka seterusnya menyatakan tandatangan Dato’ Haji Ismail Lasim pada 3 Ogos telah menyempurnakan kewajipan tersebut, sambil berhujah bahawa rujukan kepada Menteri Besar dalam peruntukan berkenaan adalah kepada jawatan, bukannya individu tertentu.

Kenyataan itu turut mempertahankan tafsiran bahawa Perkara 10(2) tidak mensyaratkan proklamasi diwartakan, selain menyifatkan pandangan Jabatan Peguam Negara sebagai nasihat dan bukannya keputusan yang menentukan perkara tersebut.

Dalam pada itu, mereka mendakwa perutusan 4 Oktober tidak mengambil kira keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bilangan 6 Tahun 2026 pada 15 September, walaupun merujuk kenyataan Menteri Besar yang lebih awal.

Menurut kenyataan berkenaan, mesyuarat itu menerima proklamasi Perkara 10 sebagai sempurna dengan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos, serta menerima proklamasi Perkara 11 berhubung pemilihan Tuanku Nadzaruddin sebagai teratur dan sempurna menurut UUTKNS.

Mereka menyatakan keputusan yang sama turut mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar dan mengarahkan pentadbiran kerajaan negeri mengambil langkah serta-merta untuk melaksanakan pengumuman tersebut.

Bagi menjelaskan perbezaan antara tarikh 19 April dengan 3 Ogos, kenyataan itu menyebut pendirian Undang Yang Empat ialah penurunan takhta telah sempurna apabila Sabda dikeluarkan pada 19 April.

Pendirian kerajaan negeri seperti yang dihuraikan dalam kenyataan itu pula ialah proklamasi diterima sebagai sempurna dengan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos.

Menurut mereka, perbezaan itu berkaitan masa proses berkenaan dianggap sempurna, bukannya perbezaan pendirian mengenai sama ada penurunan takhta berlaku.

Kenyataan tersebut juga mempertikaikan kewibawaan perutusan yang dikeluarkan atas nama Setiausaha DKU kerana, menurut mereka, ia tidak menyertakan nama, tandatangan atau nombor rujukan.

Mereka mempersoalkan tarikh sidang, senarai kehadiran, kuorum dan minit mesyuarat yang menjadi asas kepada dakwaan bahawa perutusan itu dikeluarkan atas arahan dewan.

Selain itu, mereka mendakwa Raja Norazli bin Raja Nordin telah diberhentikan melalui warkah Tuanku Nadzaruddin bertarikh 17 September di bawah Perkara 25, dan menjadikan perkara itu sebagai satu lagi asas untuk mempertikaikan pengeluaran perutusan tersebut.

Dalam menghuraikan struktur pemerintahan negeri, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menegaskan perlunya membezakan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Pembesar Memerintah, Undang Yang Empat serta DKU.

Menurut hujah mereka, setiap institusi mempunyai fungsi dan bidang kuasa tersendiri, dan tugas DKU untuk memberikan nasihat mengenai adat tidak boleh disamakan dengan kuasa Undang di bawah Perkara 10.

Mereka turut merujuk Perjanjian 1898, Perjanjian 1934 dan Perkara 79 bagi menyokong pendirian bahawa kuasa serta prerogatif Pembesar Memerintah mempunyai asas tersendiri dalam susunan pemerintahan Negeri Sembilan.

Mengenai injunksi 5 Jun, kenyataan itu menyifatkannya sebagai perintah sementara dan menegaskan, berdasarkan tafsiran mereka, mahkamah belum memutuskan siapa Yang di-Pertuan Besar atau siapa penyandang jawatan Undang yang sah.

Mereka berhujah bahawa perintah tersebut berkaitan mesyuarat dan pentadbiran DKU, serta tidak menghapuskan kuasa Undang di bawah Perkara 10 dan Perkara 11.

Kenyataan itu turut mempertikaikan penggunaan tuduhan “derhaka” dan gesaan tindakan polis yang, menurut mereka, tidak disertakan rujukan kepada peruntukan kesalahan tertentu.

Pada akhir ulasan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mengulangi pendirian bahawa Undang asal bagi Luak Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau kekal sebagai penyandang yang sah.

Mereka menegaskan surat DKU bertarikh 7 Julai 2025 dan notis 15 April 2026 merupakan antara rekod utama yang menyokong pendirian tersebut, sambil mendakwa persoalan mengenai teks perlembagaan, minit mesyuarat dan hak Undang yang diadukan untuk didengar masih belum dijawab.

“Ibarat kata perbilangan ‘Raja bertitah sekali, Undang bersabda sekali’,” menurut kenyataan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat