Keracunan makanan bantuan di sekolah, Istana Presiden batal kad media wartawan CNN Indonesia

JAKARTA, – Istana Presiden Indonesia mencetuskan kontroversi apabila Biro Pers, Media dan Informasi (BPMI) Sekretariat Presiden bertindak membatalkan kad liputan Istana milik wartawan CNN Indonesia, Diana Valencia, selepas beliau mengemukakan soalan mengenai isu Makan Bergizi Gratis (MBG) kepada Presiden Prabowo Subianto, lapor cnnindonesia.com

Program MBG bernilai trilion rupiah itu menjadi perhatian selepas ribuan pelajar sekolah dilaporkan mengalami keracunan, malah beberapa daerah telah mengisytiharkan status Kejadian Luar Biasa (KLB).

Pemimpin Redaksi CNN Indonesia, Titin Rosmasari, mengesahkan kad media Diana telah diambil secara langsung oleh petugas BPMI di pejabat CNN Indonesia, Jakarta, pada Sabtu malam (27 September).

“Benar, telah berlaku pencabutan ID Pers Istana atas nama Diana Valencia, tepatnya jam 7.15 malam, 27 September 2025, apabila seorang pegawai BPMI mengambil kad tersebut di pejabat CNN Indonesia,” kata Titin dalam kenyataan media pada Ahad (28 September).

CNN Indonesia telah menghantar surat rasmi kepada BPMI dan Menteri Sekretaris Negara untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Menurut Titin, soalan yang diajukan Diana kepada Presiden Prabowo adalah kontekstual dan penting kerana program MBG menjadi isu besar dalam masyarakat ketika ini.

Mendapat Kecaman

Tindakan BPMI Sekretariat Presiden itu mendapat kecaman daripada pelbagai organisasi pers.

Dewan Pers mengingatkan Istana agar menghormati kebebasan media dan segera memulihkan semula akses liputan CNN Indonesia.

Ikatan Jurnalis Televisi Indonesia (IJTI) menyatakan rasa kesal terhadap tindakan tersebut. Menurut Presidennya, Herik Kurniawan, soalan Diana adalah relevan dan masih dalam batas etika kewartawanan. Tambahnya, Presiden Prabowo sendiri sudah memberikan jawapan yang jelas mengenai MBG, yang wajar diketahui umum.

“Pencabutan kad liputan boleh dianggap sebagai bentuk penghalangan kerja jurnalistik, sekali gus menghadkan akses orang ramai terhadap maklumat,” tegas Herik.

Nada sama turut disuarakan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Pusat dan Forum Pemred, yang menyifatkan tindakan BPMI bercanggah dengan semangat demokrasi. Ketua Forum Pemred, Retno Pinasti, menegaskan negara harus menjamin tiada sebarang halangan terhadap kerja kewartawanan, termasuk di Istana.

Sementara itu, Aliansi Jurnalis Independen (AJI) Jakarta dan Lembaga Bantuan Hukum (LBH) Pers turut mengecam tindakan tersebut. Ketua AJI Jakarta, Irsyan Hasyim, mendesak BPMI memohon maaf dan memulangkan kembali kad liputan Diana.

Pengarah LBH Pers, Mustafa Layong, pula mengingatkan bahawa kerja wartawan dilindungi oleh undang-undang. “Segala bentuk tekanan atau penghalangan terhadap wartawan adalah pelanggaran undang-undang dan prinsip demokrasi,” katanya.

Tindakan Kerajaan

Dalam masa sama, kerajaan Indonesia mengadakan mesyuarat khas di Kementerian Kesihatan pada Ahad (28 September) bagi membincangkan kes keracunan akibat MBG.

Menteri Penyelaras Bidang Pangan, Zulkifli Hasan, berkata Presiden Prabowo telah mengarahkan siasatan menyeluruh, selain menutup sementara pusat perkhidmatan pemakanan (SPPG) yang dikenal pasti bermasalah.

Beliau turut menekankan semua SPPG diwajibkan memiliki Sijil Laik Kebersihan dan Sanitasi (SHLS) serta akan dipantau secara berkala oleh klinik kesihatan (Puskesmas) dan Unit Kesihatan Sekolah (UKS).

Sementara itu, Menteri Sekretaris Negara, Prasetyo Hadi, mengakui isu pembatalan kad media CNN Indonesia sedang dicarikan jalan penyelesaian. Beliau memaklumkan satu pertemuan antara Istana dan CNN Indonesia dijadualkan pada Isnin (29 September).

“Kita akan cari jalan keluar terbaik melalui komunikasi bersama,” katanya ringkas.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat