“Lepas Pegangan” Jejak lintas budaya NAKI & Mitty Zasia dalam muzik serantau

Di era muzik serantau yang semakin terhubung, kolaborasi lintas negara semakin menjadi jambatan bukan hanya bagi industri, tetapi juga untuk jiwa-jiwa kreatif yang ingin mencari suara bersama. Terbaru, penyanyi-penulis lagu Malaysia, NAKI, merentasi Laut Jawa untuk bertemu dengan penyanyi-penulis lagu Indonesia, Mitty Zasia, bagi melahirkan single berjudul “Lepas Pegangan”.

Walaupun keduanya datang dari latar belakang dan warna muzik berbeza, pertemuan itu membuktikan bahawa muzik sentiasa mempunyai bahasa sejagat.

Lepas Pegangan” bukan sekadar kisah putus cinta atau perpisahan. Lagu ini mengangkat tema yang lebih universal tentang melepaskan sesuatu yang pernah dekat, berdamai dengan kenyataan, serta menerima bahawa tidak semua yang kita genggam dapat terus dipertahankan.

Bagi NAKI, pengalaman menulis bersama Mitty membuka ruang refleksi baharu. “Sebelum menulis, kami banyak berkongsi kisah hidup masing-masing. Dari situ saya sedar, lagu ini bukan hanya tentang kehilangan seorang insan, tetapi juga tentang melepaskan apa jua bentuk keterikatan  cita-cita yang tak kesampaian, rasa bersalah, bahkan kenangan. Itu yang menjadikan lagu ini dekat dengan siapa saja yang mendengar,” jelasnya.

Mitty turut mengakui bahawa inti lagu ini lahir dari kejujuran peribadi. Menariknya, saat lagu mula ditulis, nalurinya terus mengatakan bahawa karya itu memerlukan suara lain untuk menghidupkan nyawanya. “Feelingku langsung bilang: lagu ini harus featuring. Begitu ketemu NAKI, chemistry-nya langsung klik. Dari workshop sampai rakaman, semua berjalan begitu natural,” katanya.

Uniknya, kolaborasi ini tidak lahir dari perancangan panjang, sebaliknya dari momen kebetulan. NAKI yang ketika itu menghadiri writing camp di Yogyakarta, sempat berkunjung ke studio Mitty. Pertemuan singkat itu akhirnya berkembang menjadi projek bersama.

Rakaman penuh dijalankan di Yogyakarta, dan pengalaman itu menjadi memori berharga buat NAKI. “Bayangkan, sebaik sahaja mendarat di lapangan terbang, saya terus ke studio dengan bagasi besar. Kami rakam sampai lewat malam. Tapi suasana di studio Mitty sangat hangat, seperti keluarga sendiri,” katanya sambil tertawa.

Kerjasama ini juga berlanjutan ke aspek visual. Disebabkan kekangan jadual, mereka masing-masing merakam bahagian visualizer dengan kamera sendiri, sebelum digabungkan untuk tayangan rasmi di YouTube. “Menariknya, di situlah saya baru berpeluang menjelajah sekitar Jogja. Jadi sambil bekerja, saya juga dapat merasai jiwa kota itu,” tambah NAKI.

Lebih daripada sekadar lagu, “Lepas Pegangan” menjadi simbol persahabatan budaya Malaysia–Indonesia. Dengan gaya penulisan yang berbeza, NAKI dan Mitty berjaya menyatukan dua perspektif menjadi satu naratif harmoni.

Mitty menyifatkan kolaborasi ini sebagai peluang untuk merapatkan pendengar di dua negara. “Kerja bareng NAKI itu vibes-nya santai tapi tetap produktif. Dan aku rasa ini bukti kalau kolaborasi serantau bisa menghadirkan sesuatu yang segar untuk audiens,” ujarnya.

NAKI pula berharap karya ini membuka ruang lebih luas buat pendengar Malaysia dan Indonesia untuk saling mengenali antara satu sama lain. “Saya percaya muzik bukan hanya tentang hiburan, tetapi juga tentang hubungan. Dengan Lepas Pegangan, saya harap ada lebih banyak pintu kolaborasi terbuka antara artis kedua-dua negara,” katanya.

Keistimewaan “Lepas Pegangan” terletak pada keterbukaannya terhadap pelbagai tafsiran. Ia tidak menuntut pendengar memahami satu maksud tunggal, sebaliknya memberi ruang untuk setiap jiwa mengaitkannya dengan pengalaman peribadi masing-masing.

Dalam dunia yang serba cepat, lagu ini hadir sebagai ruang hening untuk merenung — apakah yang perlu kita lepaskan, dan bagaimana kita berdamai dengan kehilangan itu.

“Lepas Pegangan” kini tersedia di semua platform penstriman digital, sementara Official Lyric Visualizer boleh ditonton di saluran YouTube rasmi NAKI.

Dengarkan di Spotify, Apple Music, Joox, dan platform lain.
Tonton Visualizer: [NAKI, Mitty Zasia – Lepas Pegangan (Official Lyric Visualizer)]

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat