PH mahu mansuhkan 7 Adun lantikan Melaka, pertemuan berkala rakyat dan Ketua Menteri

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) berjanji membatalkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Melaka sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, penjimatan perbelanjaan hasil pembatalan pelantikan itu akan disalurkan kepada dua inisiatif utama, iaitu bantuan pemilikan rumah untuk golongan belia dan sokongan kepada usahawan muda.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan peruntukan kerajaan negeri dapat dimanfaatkan secara langsung bagi membantu keperluan rakyat, khususnya golongan belia.

“Jika PH diberi mandat, PH akan membatalkan pelantikan tujuh Adun lantikan dan menyalurkan penjimatan perbelanjaan tersebut kepada bantuan pemilikan rumah untuk golongan belia serta bantuan kepada usahawan belia,” katanya pada sidang media, Khamis.

Selain itu, PH turut berhasrat membuka semula kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara bagi mengadakan sesi bertemu rakyat.

“Langkah ini akan memudahkan rakyat bertemu dengan pemimpin negeri bagi mendapatkan bantuan penyelesaian permasalahan mereka.

“Kerana kita tahu bahawa antara cabarannya adalah bagaimana rakyat mahu bertemu dengan kepimpinan tertinggi di peringkat negeri.

“Bertemu dalam majlis-majlis rasmi adalah perkara biasa, tapi bertemu untuk mengemukakan isu-isu yang berbangkit di bawah tanggungjawab terutamanya Ketua Menteri itu adalah satu perkara yang sentiasa dinantikan oleh rakyat.

“Jadi komitmen PH sekiranya diberi usaha, maka pintu Seri Bendahara, kediaman rasmi Ketua Menteri itu akan dibuka kembali kepada rakyat negeri Melaka untuk mereka bertemu dengan Ketua Menteri itu secara berkala seperti mana yang pernah dilakukan oleh Kerajaan PH di mana setiap hari Khamis daripada jam 9 pagi sehingga 1 tengah hari.

“Sesi itu rakyat negeri Melaka boleh megemukakan permasalahan mereka, isu-isu yang berbangkit dan sebahagian besar daripada isu-isu boleh diselesaikan dengan pertemuan antara rakyat dan juga pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat