KUALA LUMPUR – Cadangan melampau Ketua Polis Kelantan untuk meminda undang-undang bagi menghukum mangsa rogol statutori kerana mereka memberikan persetujuan untuk melakukan hubungan seks adalah salah dari segi etika dan jelas mengabaikan tanggungjawab beliau sebagai pegawai awam untuk melindungi wanita dan kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa dan sasaran pemangsa seksual.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng sebaliknya mengingatkan, pegawai polis seperti beliau memikul tanggungjawab asas untuk mempertahankan dan melindungi masyarakat, khususnya golongan lemah dan rakyat yang mematuhi undang-undang, terutamanya wanita, kanak-kanak, dan golongan yang mudah terdedah daripada penjenayah dan pemangsa seksual.
“Bagaimanakah perkara ini boleh dicapai jika mangsa rogol turut dihukum bersama dengan pelaku jenayah? Cadangan sebegini bukan sahaja tersasar, malah menunjukkan tiadanya simpati, empati dan belas kasihan terhadap kanak-kanak perempuan bawah umur yang menjadi mangsa rogol statutori.
“Terdapat sebab mengapa umur sah untuk memberi persetujuan ditetapkan pada 16 tahun, dan mengapa undang-undang menganggap hubungan seks secara sukarela dengan individu bawah umur sebagai satu jenayah rogol statutori,” tegas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam kenyataan pada Isnin.
Guan Eng menyatakan, tujuan undang-undang ini adalah untuk melindungi kanak-kanak perempuan daripada eksploitasi seksual disebabkan usia mereka yang masih muda dan ketidakmatangan mereka, yang menyebabkan mereka tidak cukup berpengetahuan dan matang untuk membuat keputusan sendiri untuk memberi persetujuan kepada hubungan seks.
“Peruntukan liabiliti ketat ini bukan sahaja wujud di Malaysia, malah di hampir semua negara di dunia, dengan perbezaan hanya pada umur sah untuk memberi persetujuan.
“Apa yang membuatkan Malaysia begitu berbeza sehingga mangsa perlu dihukum hanya kerana memberi persetujuan sedangkan dari segi undang-undang, dia tidak berkeupayaan untuk berbuat demikian?
“Ketua Polis Kelantan sepatutnya menarik balik cadangannya itu dan memohon maaf atas ketidaksensitifannya terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Adalah lebih baik jika beliau menumpukan usaha kepada tugas beliau untuk membendung peningkatan kes rogol dan rogol statutori di Kelantan,” cadang Guan Eng.
Semalam media melaporkan polis Kelantan mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri ini adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
“Sekarang ini undang-undang sedia ada lebih menjurus kepada pendakwaan terhadap lelaki sahaja, sedangkan siasatan mendapati banyak kes kedua-dua pihak sama-sama rela.
“Apabila laporan dibuat, kita tetap kena buka kertas siasatan dan mengenakan pertuduhan terhadap lelaki mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Kanak-Kanak, walaupun ada pengakuan ia dilakukan suka sama suka,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas trend peningkatan kes rogol dan jenayah seksual membabitkan remaja di Kelantan yang semakin membimbangkan sejak tahun lalu.
Menurutnya, cadangan itu akan dibincangkan bersama Pejabat Peguam Negara, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan pihak berkaitan bagi memperhalusi mekanisme undang-undang supaya tindakan yang lebih adil dapat diambil.
“Kita bukan nak melakukan pendakwaan sewenang-wenangnya, sebaliknya mahu mencari jalan pencegahan yang lebih berkesan.
“Jika undang-undang membenarkan tindakan boleh dikenakan ke atas kedua-dua pihak, kes-kes seperti ini dapat dibendung,” jelasnya.
Beliau berkata, kesalahan hubungan seks bawah umur kini biasanya disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala kanak-kanak perempuan lazimnya dilindungi sebagai mangsa.
Mohd Yusoff menegaskan, cadangan itu bagi memastikan mesej jelas sampai kepada remaja agar tidak mudah terjebak dalam perbuatan terlarang.



