Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis catat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi

Oleh Zihan Zari

KAJANG – Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah atau bahan tertinggi berdasarkan statistik sehingga Jun 2026, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh.

Ruslin berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 130,307 kes penyalahgunaan dadah dan bahan telah direkodkan di seluruh negara, iaitu pada kadar 381 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

“Statistik oleh AADK berdasarkan data bersepadu daripada empat sumber utama, iaitu AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Pemulihan Persendirian (PPP), Negeri Terengganu mencatatkan kadar tertinggi sebanyak 735 bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kelantan (694), Kedah (669) dan Perlis (646).

“Kedudukan empat negeri ini memberikan gambaran mengenai tahap penagihan dan penyalahgunaan dadah yang memerlukan perhatian serta intervensi berfokus.

“Faktor geografi, turut menyumbang kepada scenario ini di mana laluan penyeludupan rentas sempadan, turut dikenal pasti sebagai antara faktor risiko yang mempengaruhi masalah dadah di kawasan berkenaan, ”katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, AADK telah memberikan tumpuan kepada pelaksanaan penguatkuaaan, program pencegahan dan pemerkasaan masyarakat di negeri-negeri berisiko tinggi, melibatkan tiga segmen utama iaitu institusi pendidikan, keluarga dan komuniti.

“Sebanyak 242 program pencegahan dan kesedaran awam telah dilaksanakan dengan penyertaan keseluruhan 16,408 orang, termasuk 228 program di Terengganu, Kelantan dan Kedah yang melibatkan lebih 16,000 peserta.

“Pelaksanaan ini memberikan penekanan kepada peningkatan kesedaran, penglibatan komuniti dan usaha pencegahan penyalahgunaan dadah.

“Sehingga 18 Oktober lalu sebanyak 4,253 operasi penguatkuasaan telah dijalankan di seluruh negara dan seramai 30,157 orang berjaya ditahan untuk menjalani program rawatan dan pemulihan, ”ujarnya.

Ujarnya lagi, dalam bidang rawatan dan pemulihan, AADK memberi keutamaan kepada rawatan dan pemulihan secara sukarela.

“Purata individu yang tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah turut menyaksikan peningkatan daripada 75 orang sebulan pada 2025 kepada 232 orang sebulan, tahun ini.

“Peningkatan ini menunjukkan perkembangan positif susulan pelaksanaan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa pada 22 Ogos tahun lalu.

“AADK akan terus menggunakan pendekatan berasaskan data bagi mengenal pasti kawasan berisiko, menentukan keutamaan intervensi serta memperkukuh penyelarasan program pencegahan, rawatan dan pemulihan bersama agensi berkaitan, ”tambahnya.

Tambahnya lagi, AADK kekal komited untuk memperkukuh usaha melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier bagi menangani masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah melalui kerjasama pelbagai agensi serta penglibatan aktif keluarga, institusi pendidikan dan komuniti demi kesejahteraan masyarakat. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat