Petrol RON95 Malaysia antara paling murah di dunia meski tanpa subsidi

KUALA LUMPUR – Malaysia kini antara negara yang mempunyai harga petrol RON95 paling murah di dunia walaupun dengan harga tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan harga bersubsidi RM1.99 seliter yang akan berkuat kuasa pada 30 September ini, kedudukan negara kekal dalam kelompok negara yang menawarkan harga bahan api terendah, baik di rantau ini mahu pun di peringkat global.

“Walaupun harga pasaran sebenar akan diumumkan pada 30 September nanti, rakyat tidak perlu bimbang kerana mekanisme yang digunakan kerajaan memastikan harga kekal kompetitif.

“Kalau kita lihat, harga RM1.99 ini memang yang paling murah. Sekiranya dinaikkan kepada harga pasaran, kita masih lagi tergolong antara negara dengan harga minyak terendah.

“Kita tunggu pengumuman pada 30 September nanti kerana harga pasaran bergantung kepada perkembangan harga minyak dunia dan mekanisme sistem penetapan harga petrol (EPM) yang kita gunakan,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Pulau Betong, lapor Sinar Harian di Balik Pulau pada Isnin.

Menjawab soalan sama ada harga RM1.99 seliter itu akan diturunkan sekiranya harga minyak dunia jatuh, beliau berkata, harga tersebut akan kekal kerana ia merupakan harga subsidi.

“RM1.99 adalah harga bersubsidi, jadi ia akan dikekalkan dan tidak boleh diturunkan lagi.

“Alhamdulillah, kita masih boleh bersyukur kerana harga minyak di negara kita adalah antara yang terendah di dunia,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.

Pelaksanaan inisiatif itu dibuat di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Anwar berkata, langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia dengan bukan warganegara perlu membayar pada harga RM2.60 seliter selepas tarikh berkenaan.

Bukan cuma itu kata Amie Hamzah lagi, penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka mampu memberi penjimatan kepada kerajaan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.

“(Ini) dengan jangkaan jika harga minyak ialah RM75 setong, maka kita akan menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM3.5 atau RM4 bilion setahun,” katanya.

Amir menegaskan, dana itu akan disalurkan semula kepada program sokongan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan pendidikan, serta skim bantuan tunai lain.

“Jika kita tidak melaksanakannya, perbelanjaan kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar memerlukannya akan berkurangan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat