JAKARTA, – Sebanyak 16 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Indonesia menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Presiden RI Prabowo Subianto dalam menangani cabaran semasa negara, di samping menyeru rakyat agar tetap tenang menghadapi situasi terkini.
Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), KH. Yahya Cholil Staquf atau Gus Yahya, berkata kesepakatan itu dicapai selepas pertemuan antara Presiden Prabowo dan para pimpinan ormas Islam di Hambalang, Jawa Barat, pada Sabtu.
“Kami bersepakat untuk bersama-sama bahu membahu mengatasi keadaan, serta mengajak masyarakat supaya lebih tenang,” kata Gus Yahya.
Dalam pertemuan itu, para pemimpin NGO Islam turut menegaskan dukungan terhadap pemerintahan Presiden Prabowo.
“Insya Allah bersama-sama Presiden Prabowo Subianto di bawah pemerintahan beliau, dan dengan dukungan para pemimpin umat, kita mampu mengatasi apa sahaja cabaran yang dihadapi,” tambah Gus Yahya.
Pertemuan di Hambalang turut dihadiri Ketua MPR RI Ahmad Muzani, Ketua BIN Muhammad Herindra, serta sejumlah menteri dari Kabinet Merah Putih.
Gus Yahya menjelaskan bahawa perbincangan mereka menyentuh isu-isu kebangsaan yang sedang mencabar Indonesia.
“Kami berdialog dari hati ke hati, membincangkan secara umum tetapi lengkap mengenai permasalahan bangsa, khususnya hari-hari ini,” katanya.
Selepas pertemuan di Hambalang, Presiden Prabowo dijadualkan mengadakan pertemuan lanjutan bersama NGO Islam di Istana Negara.
“Insya Allah akan ada pertemuan lanjutan di Istana Negara antara Bapak Presiden dan NGO-NGO Islam untuk meneguhkan tekad dan kesepakatan bersama,” ujar Gus Yahya. -SuaraTV/Kompas.com



