JAKARTA, – Platform media sosial TikTok milik ByteDance mengumumkan penggantungan sementara fitur LIVE di Indonesia selama beberapa hari berikutan meningkatnya ketegangan dan keganasan dalam siri protes yang berlaku di negara itu.
Dalam kenyataan rasmi pada Sabtu, pihak TikTok menjelaskan langkah tersebut diambil sebagai tindakan berjaga-jaga bagi memastikan platform kekal selamat dan beradab untuk semua penggunanya.
“Sehubungan dengan peningkatan kekerasan dalam protes di Indonesia, kami mengambil langkah keselamatan tambahan. Sebagai sebahagian daripadanya, kami secara sukarela menggantung fitur TikTok LIVE untuk beberapa hari akan datang di Indonesia,” menurut kenyataan TikTok.
Selain penggantungan sementara itu, TikTok menegaskan pihaknya akan terus memantau dan menyingkirkan kandungan yang melanggar garis panduan komuniti.
Indonesia merupakan salah satu pasaran terbesar TikTok di dunia, dengan lebih daripada 100 juta akaun berdaftar di negara tersebut.



