Semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan perlu main peranan bantu PMX — Fahmi

AYER MOLEK — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicabar meletakkan jawatan sekiranya beliau tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap Kerajaan Perpaduan, berbanding mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal.

Cabaran itu disuarakan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam kenyataannya di Parlimen, hari ini.

Mengulas perkara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua pihak yang masih bersama Kerajaan Perpaduan perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kejayaan kerajaan ketika ini tidak boleh dinafikan, khususnya dalam aspek reformasi institusi, kebebasan Parlimen serta keyakinan pelabur.

“Saya percaya bagi pihak kerajaan secara umumnya, kita melihat banyak kejayaan yang telah dibawa oleh Perdana Menteri, bukan hanya dari segi reformasi institusi, malah Parlimen sekarang lebih bebas berbanding dahulu.

“Begitu juga dengan tahap keyakinan, termasuk daripada para pelabur terhadap kerajaan dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan walkabout bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Ayer Molek, Muhamad Hakimin Mokhtar, di Pasar Malam Ayer Molek, di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, pendirian yang disuarakan Gobind itu wajar menjadi pegangan semua anggota Jemaah Menteri dan pihak yang masih berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing. Saya percaya intipati atau apa yang ditegaskan oleh YB Gobind itu harus menjadi pegangan kepada semua anggota Jemaah Menteri dan semua pihak yang masih berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, kita semua membantu Perdana Menteri dalam usaha ini dan menyokong segala usaha yang dilaksanakan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat