Industri hiburan tanah air sekali lagi digemparkan dengan penganjuran sebuah acara istimewa apabila 211 Event Empire dengan penuh bangga menganjurkan Mini Showcase Mickey Klaxson & Syamel Amzah di IDEAS Hotel, Kuala Lumpur. Acara yang berlangsung dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang ini menyatukan artis-artis ternama dari Malaysia dan Aceh, sekali gus menjadi jambatan budaya dua negara serumpun.
Barisan artis yang membuat persembahan terdiri daripada Mickey Klaxson, John Bear Si Nakal, Ameerais Forteen, Syamel Amzah dan The Potai’s Band. Turut hadir memeriahkan acara ialah rombongan khas dari Aceh termasuk Yang Terhormat Tengku Irsyadi serta Ustaz Fauzan, memberi simbolik kepada ikatan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia. Lebih istimewa, penonton bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan secara langsung di dewan hotel, bahkan mereka yang berada di luar Kuala Lumpur dan Indonesia juga boleh mengikuti siaran secara live streaming dengan harga tiket berpatutan.

Penganjur menawarkan dua pilihan kepada peminat, sama ada hadir secara fizikal dengan tiket berharga RM100 yang disertakan sesi Meet & Greet, jamuan hi-tea serta barangan eksklusif, atau mengikuti siaran secara langsung pada harga RM10 (bersamaan IDR40,000). Apa yang menarik, setiap pembelian tiket turut melayakkan penonton menyertai cabutan bertuah yang dianjurkan khas untuk memberi penghargaan kepada peminat.
Ketika ditemui media, CEO 211 Event Empire, Puan Intan Madura menjelaskan mengapa pihaknya memilih untuk menampilkan Syamel Amzah dan bintang baharu dari Aceh, Mickey Klaxson. “Sebenarnya pihak kami memilih Syamel dan juga Mickey berdasarkan rekod mereka. Yang pertama sekali mereka sangat viral di TikTok, baik di Malaysia mahupun di Indonesia. Setiap hari tontonan mereka melebihi satu juta. Itu yang membuatkan kami berminat. Mereka juga masih segar, sedang dikenali, jadi platform ini sesuai untuk membawa mereka lebih ke hadapan,” katanya.
Menurut Puan Intan lagi, strategi utama showcase ini adalah memberi peluang kepada peminat untuk bertemu artis idola mereka secara lebih dekat. “Kita menyediakan dua jenis tiket. Yang pertama adalah live streaming supaya sesiapa pun boleh menonton dari jauh. Yang kedua adalah tiket Meet & Greet yang kita hadkan kepada 100 orang sahaja untuk benar-benar menjadikan ia eksklusif,” jelasnya. Beliau turut menyatakan sambutan yang diterima setakat ini sangat memberangsangkan meskipun angka penuh belum dapat didedahkan.
Menariknya, pihak penganjur sudah merancang untuk membawa mini showcase ini ke Indonesia selepas kejayaan penganjuran di Malaysia. “Hari ini kita di Malaysia, insya-Allah selepas ini kita ke Indonesia pula. Kita mahu berlaku adil kepada peminat kedua-dua negara. Buat masa ini target kami adalah Medan, dan perancangan itu sedang diatur,” tambah beliau penuh optimis.

Bagi Mickey Klaxson, showcase ini merupakan penampilan istimewa kerana ia adalah kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Malaysia. Nama Mickey mula meniti di bibir peminat apabila tular di media sosial dengan vokalnya yang dikatakan mirip legenda rock tanah air, Allahyarham Saleem dari kumpulan Iklim. Namun, Mickey menegaskan bahawa gaya nyanyiannya lahir secara semula jadi. “Memang ini kelas saya. Saya menyanyikannya lebih ke perasaan. Kadang-kadang orang rasa macam tersentuh dan terharu. Itu datang daripada jiwa saya, bukan meniru sesiapa,” katanya sambil tersenyum.
Penyanyi asal Aceh itu turut berkongsi bahawa minatnya dalam dunia muzik bermula sejak kecil ketika menjadi muazin di pesantren. Dari situ beliau mula berlatih vokal dengan nada tinggi melalui qasidah sebelum beralih kepada genre popular. Malah, beliau sudah menghasilkan tiga album walaupun menghadapi cabaran apabila beberapa karyanya diciplak pihak tidak bertanggungjawab. “Yang sudah itu biarlah berlalu. Banyak juga lagu saya yang dicuri, tapi saya anggap semua itu rezeki. Apa yang penting saya terus berkarya,” ujarnya.
Sementara itu, kehadiran Ameerais Forteen turut memberi warna pada showcase ini. Beliau yang pernah dikenali bersama kumpulan Forteen kini bergerak secara solo. Baginya, perjalanan sebagai artis solo memberi peluang untuk memperlihatkan sisi berbeza yang tidak sempat ditonjolkan ketika bersama kumpulan. “Bila bergerak solo, ia adalah satu sisi yang lain. Tetapi saya tetap bersama Forteen dan menghargai perjalanan itu. Cuma sekarang saya mahu memfokuskan muzik dan arah seni saya sendiri,” jelasnya. Ameerais juga mendedahkan beliau kini sedang dalam perancangan menghasilkan single baharu selain terus aktif dengan projek-projek seni.
Bagi Syamel Amzah pula, showcase ini menjadi ruang untuk menghargai sokongan peminat yang setia bersamanya sejak awal. Beliau yang turut terlibat dari peringkat idea awal acara ini menyifatkan kerjasama bersama 211 Event Empire sebagai langkah positif untuk memberi peluang kepada artis-artis muda menonjolkan bakat. “Idea asal memang daripada saya, tetapi semua ini tidak akan jadi kenyataan tanpa sokongan pihak penganjur dan peminat. Saya bersyukur dapat berada di sini,” katanya ringkas.
Secara keseluruhannya, Mini Showcase Mickey Klaxson & Syamel Amzah bukan sahaja sebuah persembahan hiburan, tetapi juga sebuah platform penting dalam mempertemukan peminat dengan idola mereka. Lebih daripada itu, ia menjadi satu bentuk kerjasama budaya yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia melalui muzik dan seni persembahan. Puan Intan Madura menutup perbualan dengan penuh harapan: “Ini hanyalah permulaan. Kami mahu melihat bakat Malaysia dan Indonesia berkembang bersama. Insya-Allah selepas showcase ini, akan ada lebih banyak projek yang mempertemukan artis-artis hebat dari kedua-dua negara di pentas lebih besar.”
Dengan sambutan hangat yang diterima, tidak mustahil showcase ini akan menjadi titik tolak kepada penganjuran konsert-konsert berskala lebih besar di masa hadapan, sekaligus mengangkat artis-artis baharu ke peringkat yang lebih tinggi.



