KUALA LUMPUR – Pelantikan seorang wakil berbangsa Cina sebagai Adun lantikan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Terengganu disifatkan sebagai satu kemunafikan yang nyata.
Ketua DAPSY Woo Kah Leong mengkritik pengumuman Pengerusi PN merangkap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Samsuri Mokhtar itu, katanya pelantikan itu tidak cukup untuk menutup dasar konservatif dan eksklusif PN yang telah lama diamalkan.
Justeru, Kah Leong menggesa Samsuri supaya berhenti berpura-pura bersikap terbuka, sebaliknya mengambil tindakan yang sebenar dan memansuhkan dasar diskriminasi yang menyekat hak serta kebebasan budaya masyarakat bukan Islam.
“Keterbukaan yang sebenar adalah dengan membenarkan rakyat daripada semua kaum untuk hidup secara sama rata dan menyertai urusan awam secara bebas, bukan dengan menyekat hak masyarakat minoriti, sambil melantik seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina sebagai Adun untuk meminta rakyat percaya bahawa PN telah menghormati kepelbagaian,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Semalam Samsuri mengumumkan, Kerajaan Terengganu bakal melantik seorang wakil dalam kalangan bukan Islam daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebagai Adun lantikan dalam masa terdekat.
Kah Leong sebaliknya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu perlu terlebih dahulu menarik balik dasar konservatifnya yang disifatkan sebagai keterlaluan dan mengganggu keharmonian.
“Contohnya larangan penyanyi wanita membuat persembahan di pentas tokong di Temerloh, sehinggalah kepada pengumuman kerajaan negeri bahawa tukang gunting rambut bukan Islam juga perlu mematuhi sekatan perkhidmatan mengikut jantina, serta kawalan terhadap tempat duduk, pakaian dan waktu perniagaan pawagam. Semua itu mencerminkan kecenderungan kerajaan negeri untuk campur tangan dalam kehidupan harian rakyat.
“Jika Samsuri benar-benar menghormati kepelbagaian, bilakah beliau bersedia untuk memansuhkan peraturan konservatif yang tidak munasabah itu dan menjamin dengan jelas kebebasan budaya dan gaya hidup masyarakat bukan Islam?” soalnya.
Semalam, Samsuri berkata, Kerajaan Terengganu akan melantik seorang wakil kaum Cina daripada Parti Gerakan sebagai Adun lantikan bagi memastikan komuniti itu diwakili dalam institusi perundangan negeri.
Samsuri berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara, selaras dengan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu yang membolehkan pelantikan wakil daripada kaum atau gender yang tidak mempunyai perwakilan dalam DUN.
“Kita buat keputusan, setelah mempertimbangkan pelbagai perkara, untuk lantik seorang (wakil komuniti) Cina daripada Gerakan sebagai Adun lantikan,” katanya.



