KUALA LUMPUR – Pengerusi Presiden Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya menggubal Rang Undang-Undang Anti-Buli yang mengenakan hukuman berat terhadap pembuli dan mana-mana pihak yang cuai dalam melindungi keselamatan pelajar di sekolah atau di institusi pengajian tinggi di negara ini.
Menurut Presiden Bersatu itu, dengan adanya Akta Anti-Buli, kerangka undang-undang dan dasar yang jelas boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk melindungi pelajar daripada tindakan penganiayaan sama ada berbentuk fizikal atau emosi yang menjejaskan keselamatan diri dan nyawa.
“Kita mesti bersama-bersama memerangi budaya buli yang saya percaya masih berleluasa pada masa ini.
“Ia umpama gajah di dalam bilik terutamanya di sekolah-sekolah berasrama. Jangan kita biarkan amalan buruk dan jahat yang menjejaskan keselamatan dan nyawa anak-anak ini berterusan.
“Saya mendoakan agar kedua ibu bapa dan ahli keluarga arwah adik Zara Qairina tabah menghadapi dugaan getir kehilangan insan tersayang,” ucap Ahli Parlimen Pagoh dalam kenyataan pada Isnin.
Cadangan Muhyiddin itu sebagai mengambil maklum keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mempercepatkan inkues berhubung kematian adik Zara Qairina Mahathir.
Tegas beliau, inkues ini hendaklah dijalankan secara telus, menyeluruh dan berpaksikan undang-undang demi mencari kebenaran dan keadilan.
“Insiden buli yang menyebabkan kecederaan dan kematian pelajar tidak boleh dipandang ringan.
“Malah ia tidak harus dibiarkan menjadi budaya terutamanya di sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara kita.
“Tindakan undang-undang yang tegas hendaklah diambil untuk memastikan kejadian menyayat hati ini tidak berulang,” kata bekas Perdana Menteri itu.



