KUALA LUMPUR, – Parti MUDA hari ini menegaskan pendirian konsisten mereka menentang rasuah serta tidak gentar dengan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghantar notis tuntutan saman terhadap Setiausaha Agung MUDA, Nuraini Hazikah.
Dalam sidang media yang berlangsung pagi tadi, Nuraini mendedahkan beliau menerima notis tuntutan pada 5 Ogos lalu, yang menggesa penarikan balik kenyataan serta menuntut ganti rugi berhubung dakwaan terhadap Zahid.
Bagaimanapun, melalui peguamnya, firma Daim dan Gamani, satu jawapan balas rasmi telah dihantar hari ini.
Nuraini menegaskan, MUDA menolak dakwaan fitnah tersebut dan melihat tindakan Zahid sebagai peluang terbaik untuk membuktikan kesuciannya di mahkamah.
“Kalau betul beliau bukan seorang perasuah dan tidak ada kaitan dengan 47 kes rasuah yang digugurkan melalui DNAA, maka inilah gelanggang terbaik untuk beliau membersihkan nama,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kembali pendirian MUDA pada September 2023, apabila parti itu menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan selepas keputusan DNAA membabitkan Zahid diumumkan.
“Ini bukan soal saya secara peribadi, ini perjuangan MUDA. Kami konsisten menolak rasuah sejak awal,” tegasnya.
MUDA juga menganggap notis saman ini sebagai taktik menakut-nakutkan pihak lawan politik serta rakyat agar tidak bersuara.
“Bukan Aini sahaja yang pernah menyebut Zahid seorang perasuah. Ramai pimpinan Pakatan Harapan ketika PRU15 dahulu yang mengulang dakwaan sama, mengapa mereka tidak disaman?” soal seorang wakil pimpinan MUDA.
Parti itu menegaskan tidak akan tunduk kepada sebarang cubaan membuli atau membungkam suara kritis, malah akan terus membawa isu-isu berprofil tinggi yang melibatkan kepentingan awam.



