KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial terkenal, Ariz Ramli atau Caprice, membuat laporan polis selepas mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama dan imej beliau untuk menyebarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi Istana.
Caprice mendakwa identitinya telah digunakan untuk menghasilkan hantaran media sosial yang seolah-olah menggambarkan beliau mengeluarkan kenyataan mempertikaikan campur tangan Istana dalam urusan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Antara kandungan yang tular menggunakan nama dan gambarnya ialah kenyataan bertajuk, “Yang duduk di istana kalau boleh jangan buat semak & jangan masuk campur urusan pengampunan Najib”.
Hantaran tersebut turut memaparkan imej seorang lelaki menyerupai Caprice dengan berpakaian formal, sekali gus boleh menimbulkan tanggapan bahawa kenyataan berkenaan benar-benar dikeluarkan oleh beliau.
Bagaimanapun, Caprice menafikan penglibatannya dan mendakwa kandungan tersebut dihasilkan oleh pihak lain yang menyalahgunakan identitinya.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan di media sosial, beliau turut mendedahkan bahawa kejadian penyalahgunaan namanya bukan kali pertama berlaku, sebaliknya sudah berulang sebanyak tiga kali.
Beliau turut menyuarakan hasrat supaya individu yang bertanggungjawab dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil.
Tindakan membuat laporan polis itu dilihat sebagai usaha Caprice membersihkan namanya daripada dikaitkan dengan kenyataan sensitif yang menyentuh institusi diraja.
Selain kenyataan berkaitan Istana, terdapat juga kandungan lain menggunakan nama beliau yang menyentuh isu peribadi dan keluarga, termasuk dakwaan berkaitan tuntutan ganti rugi berjumlah RM220,000.


