Singkir semua menteri Umno, buang BN dari Kerajaan Persekutuan – Rafizi beritahu Anwar

MELAKA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran menggugurkan Menteri-Menteri Umno dari Kabinet dan membuang Barisan Nasional (BN) dari Kerajaan Persekutuan.

Pemimpin Parti Bersama Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan kepada Anwar bahawa tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri ialah memimpin Kabinet dan Kerajaan Persekutuan untuk menumpukan perhatian mentadbir negara dengan memastikan semua kementerian bergerak seiringan sebagai sebuah jentera.

“Jika beliau gagal atau disanggah secara terbuka oleh menteri-menteri dari UMNO yang dilantik beliau sendiri, sewajarnya beliau ada keberanian untuk memecat BN dari Kerajaan Persekutuan dan seterusnya melakukan seberapa banyak reformasi menjelang Pilihan Raya ke-16 (PRU16).

“Adalah wajar Anwar menggugurkan menteri-menteri Umno dari Kabinet dan membuang BN dari Kerajaan Persekutuan,” cadang Rafizi.

Syor bekas Ahli Parlimen Pandan itu berasaskan, keretakan dalam Kerajaan Madani mula diperlihatkan kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Johor seawal Mei tahun ini. Ia disusuli dengan Pilihan Raya Negeri Sembilan dan kini berlarutan ke Pilihan Raya Melaka.

Kata Rafizi, keretakan itu telah bertukar menjadi perang mulut terbuka di antara PH dan BN.

“Perdana Menteri mengkritik timbalannya secara terbuka, sementara menteri-menteri dari Umno juga secara terbuka mencabar Anwar untuk menggugurkan mereka dari Kabinet.

“Semalam, dalam kempen PRN Melaka, Perdana Menteri mencabar menteri-menteri dari Umno untuk bertikam lidah dengan beliau di dalam Kabinet.

“Hari ini, dengan berita Datuk Seri Najib Razak telah membayar RM50 juta untuk membolehkan beliau menjalani tahanan di rumah; Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke tidak ada pilihan kecuali meletakkan jawatan seperti yang dijanjikan.

“Semua ini berlaku di bawah kepimpinan Anwar selaku Perdana Menteri, walaupun beliau sering berucap mengenai kemampuan beliau membawa kawan dan lawan untuk duduk semeja,” katanya.

Jelas bahawa formula kerjasama di antara parti-parti yang bermusuhan duduk bersama membentuk Kerajaan Madani tidak lagi berfungsi, dakwa Rafizi dalam kenyataan media pada Jumaat.

“Keperluan berkompromi di antara PH dan BN sering dijadikan alasan oleh PH bahawa prinsip perlu dikendurkan dan reformasi tidak boleh dijalankan seperti tuntutan rakyat untuk menjadi hati BN.

“Dalam keadaan permusuhan di antara PH dan BN telah jelas dibawa secara terbuka ke pentas politik rakyat, dan mengambil kira perkara-perkara berikut iaitu permusuhan terbuka itu boleh melemahkan, malah melumpuhkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan apabila tiada lagi kesepakatan keseluruhan jentera pentadbiran negara. Umno mengawal kementerian-kementerian penting; maka kementerian-kementerian ini akan mengikut arahan dari menteri-menteri Umno, yang jelasnya tidak lagi sehaluan dengan Perdana Menteri.

“Kekosongan dalam Kabinet akan berlaku kerana kerusi Menteri Pengangkutan akan dikosongkan oleh Anthony Loke, yang menyebabkan satu rombakan Kabinet akan berlaku.

“Pentadbiran Madani di bawah Anwar telah menandatangani perjanjian CSA yang menjamin majoriti beliau di Dewan Rakyat dan menjalinkan kerjasama politik dengan Bersatu di dalam PRN Melaka (dan bakal disambung di Selangor selepas ini),” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat