Laksana inkues kematian Zara Qairina, untuk ketahui cara kematian bukan sabitkan kesalahan- Pembela

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa disaran melaksanakan prosiding inkues terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Zara Qairina Mahathir.

Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata prosiding inkues dilaksanakan bukan untuk menentukan kesalahan atau mensabitkan jenayah terhadap individu tertentu.

Sebaliknya, hasil inkues yang dijalankan boleh digunakan oleh pihak polis atau pendakwa untuk tindakan lanjut.

Katanya, ini kerana menerusi prosedur itu, ia akan menentukan cara kematian itu berlaku, sama ada ia terjadi secara semula jadi, kemalangan, bunuh diri, pembunuhan atau tidak dapat dipastikan.

“Kita juga dapat mengenal pasti masa dan tempat kematian sekali gus membantu dalam rekod rasmi dan proses undang-undang.

“Malah, dengan prosiding inkues ini, ia akan membantu pencegahan pada masa hadapan, contohnya jika kematian berpunca daripada kelemahan keselamatan, menerusi inkues ini ia boleh mencadangkan langkah pencegahan.

“Seterusnya, hasil inkues ini dapat memberi gambaran jelas kepada keluarga dan masyarakat mengenai kematian yang berlaku, supaya tidak timbul spekulasi atau tuduhan yang tidak berasas,” memetik BH.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggali semula mayat pelajar itu bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

AGC dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kematian Zara Qairina.

Susulan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata prosiding inkues yang diminta keluarga Zara Qairina perlu diadakan segera susulan siasatan ke atas kematian pelajar berkenaan.

Inkues akan pastikan cara atau situasi kematian berlaku

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, sekiranya keputusan bedah siasat itu sudah diperoleh, inkues masih boleh dilaksanakan meskipun tujuannya sedikit berbeza.

Katanya, ini kerana terdapat perbezaan bagi proses bedah siasat atau inkues yang dijalankan.

“Proses bedah siasat itu diadakan untuk menentukan punca perubatan kematian, contohnya luka tikaman di dada menyebabkan pendarahan dalaman, sementara inkues pula ia dapat menentukan cara dan situasi kematian berlaku, sama ada tikaman itu akibat kemalangan, bunuh diri atau dibunuh.

“Dalam undang-undang Malaysia (Seksyen 328 hingga 341 Kanun Prosedur Jenayah), jika hasil sudah jelas menunjukkan kematian semula jadi dan tiada unsur mencurigakan, biasanya kita tidak perlu laksanakan inkues.

“Tetapi jika ada keraguan, kematian mengejut atau ada unsur jenayah, inkues wajib dijalankan walaupun bedah siasat sudah dibuat.

“Maknanya, bedah siasat diadakan bagi mengetahui apa yang menyebabkan kematian manakala inkues pula untuk mengetahui bagaimana kematian itu berlaku dan dalam keadaan apa,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat