KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek diminta untuk tidak bersikap defensif berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.
Sebaliknya Ahli Perlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta agar Menteri berkenaan memberikan sepenuh perhatian khusus dalam memastikan isu keselamatan di sekolah.
“Kita tidak boleh menuding jari kepada ibu bapa yang membuat spekulasi.
“Yang penting ialah kerajaan menunjukkan kesungguhan untuk mengambil tindakan dan tidak memperkecilkan kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mengalu-alukan komitmen kerajaan, termasuk Perdana Menteri, untuk memastikan semua persoalan rakyat terjawab berhubung isu kematian tersebut.
“Isu buli kini mendapat perhatian luas. Jika diperlukan, anjakan dalam sistem pendidikan mesti dilakukan bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.
“Pencapaian akademik dan kemenjadian murid tidak akan bermakna sekiranya keselamatan mereka sendiri gagal dijamin.
“Saya mengalu-alukan komitmen kerajaan, termasuk YAB Perdana Menteri, supaya siasatan telus dapat dilakukan bagi menjawab pelbagai persoalan,” katanya.



