KUALA LUMPUR- Umno menegaskan parti itu tidak terbabit dalam pertikaian di antara institusi adat dan raja di Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian itu sudah dinyatakan berulang kali menerusi kenyataan rasmi parti sejak sebelum pilihan raya hingga konflik berkenaan berlarutan selepas pilihan raya.
Katanya, Umno sentiasa mempertahankan dan memartabatkan institusi Adat Perpatih serta institusi raja di Negeri Sembilan kerana perkara itu terkandung dalam manifesto dan kempen parti.
“Sebagaimana Naib Presiden Umno (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) sebutkan semalam, rakyat perlu mendapatkan fakta yang sebenar bahawa Umno tidak pernah terbabit dan tidak pernah mencampuri (konflik institusi adat dan raja di Negeri Sembilan) .
“Bahkan kita satu-satunya parti dalam Perlembagaan parti menyebut bahawa Umno adalah parti yang mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
“Mana mungkin bila kita parti yang mempunyai asas dalam Perlembagaan, kita campur tangan dan kita berpihak kepada mana-mana pihak dalam konteks institusi raja dan adat,” katanya memetik BH pada Selasa.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, institusi adat dan raja di Negeri Sembilan berbeza dengan negeri lain, justeru ia tidak boleh dan tidak wajar dicampuri oleh orang politik dan rakyat biasa.
“Kita kena mengasingkan antara institusi adat dan raja, yang kita tak boleh campur pun.
“Institusi adat dan raja di Negeri Sembilan berbeza dengan negeri lain dan tidak boleh serta tidak wajar dicampuri oleh orang politik mahupun rakyat biasa. Jadi, itu pendirian dan prinsip Umno,” katanya.
Pada 17 September lalu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dilapor mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selepas diputuskan sebulat suara ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), dua hari sebelumnya.
Susulan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan sudah diminta melaksanakan pewartaan proses proklamasi terbabit mengikut peraturan sedia ada.
Pengesahan itu dibuat sehari selepas beberapa portal menyiarkan kenyataan atas nama Barisan Ahli MMK mengenai proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.
Proklamasi berkenaan dibuat mengikut Perkara 11 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, bertarikh 19 April lalu, yang sudah ditandatangani dan dicop mohor Undang Luak sah serta berkuat kuasa.
Kenyataan itu menyebut proklamasi berkenaan teratur dan sempurna, mengikut UUTKNS 1959.



