PETALING JAYA, 6 Ogos – Perdana Menteri mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terhadap kenyataan yang dikaitkan dengan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung isu subsidi melibatkan warga asing.
Arahan itu dikeluarkan selepas Muhyiddin menafikan pernah mengeluarkan kenyataan mempertahankan kebajikan warga asing dalam konteks pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, kerajaan mengambil maklum penafian tersebut dan menegaskan komitmen terhadap prinsip ketelusan serta akauntabiliti.
“Sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, perdana menteri mengarahkan SKMM untuk menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Semalam, Muhyiddin dalam kenyataan di Facebook menyifatkan dakwaan Perdana Menteri sebagai fitnah, dan menuntut Anwar Ibrahim mengemukakan bukti berkenaan kenyataan yang dibuat di Parlimen.
Muhyiddin juga mendakwa kenyataan Anwar itu mencerminkan kegagalan kerajaan membuat semakan sebelum mengeluarkan tuduhan.



