KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang hari ini mengumumkan pelaksanaan semula program pemberian air percuma kepada rakyat menerusi inisiatif baharu yang dikenali sebagai Program Air Percuma Pahang 1st.
Program ini merupakan penjenamaan semula kepada Rebat Air Makmur (RAM) dan dilancarkan seiring dengan pengenalan Aspirasi Pahang 1st, yang menjadi agenda utama pentadbiran negeri dalam menjamin kesejahteraan rakyat.
Menurut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, keputusan untuk meneruskan program ini dibuat selepas mengambil kira kestabilan kewangan semasa Kerajaan Negeri dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
“Pelaksanaan inisiatif ini juga melibatkan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu (m3) pertama setiap bulan kepada golongan sasar yang dikenal pasti, dengan peruntukan kewangan sebanyak RM7.3 juta setahun serta memberi manfaat kepada kira-kira 38,000 pengguna di Negeri Pahang,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan Negeri turut menyeru semua pengguna air di negeri ini untuk mengamalkan langkah penjimatan dan mengelakkan pembaziran demi kelestarian sumber air jangka panjang.
“Kerajaan Negeri berharap langkah yang diambil akan memastikan golongan sasar tidak terkesan serta dapat menikmati manfaat inisiatif ini,” kata beliau.
Pelaksanaan program ini menjadi salah satu pencapaian penting dalam menjayakan agenda Aspirasi Pahang 1st yang mengutamakan rakyat, memperkukuh prestasi dan mempertahankan kemakmuran negeri.



