HELSINKI– Finland memberi isyarat jelas kesediaan untuk mengiktiraf negara Palestin secara rasmi sebagai langkah konkrit ke arah penyelesaian adil dan berkekalan terhadap konflik berpanjangan di Timur Tengah.
Presiden Finland, Alexander Stubb, menegaskan bahawa negaranya sentiasa komited terhadap pendekatan dua negara dan menyifatkan pengiktirafan Palestin sebagai “langkah logik seterusnya” dalam proses ke arah keamanan.
“Saya menyokong penyelesaian dua negara. Ini bermaksud pengiktirafan negara Palestin akan menjadi langkah logik yang seterusnya. Finland bersedia mengambil langkah itu pada masa yang sesuai,” katanya menerusi platform media sosial.
Annoin tänään haastattelun STT:lle.
Sekä israelilaiset että palestiinalaiset ovat kärsineet liikaa, liian kauan.
Väkivallan uhka Israelissa on todellinen. Hamas, monet muut terroristijärjestöt ja useat valtiot eivät edelleenkään hyväksy Israelin olemassaoloa. Samalla tilanne… pic.twitter.com/pcexAKRCK9
— Alexander Stubb (@alexstubb) July 31, 2025
Kenyataan itu hadir susulan gelombang baharu pengiktirafan terhadap Palestin oleh beberapa negara Eropah, termasuk Norway, Ireland dan Sepanyol, yang telah membuat pengumuman serupa awal tahun ini. Langkah-langkah ini mencerminkan perubahan sikap dalam kalangan masyarakat antarabangsa terhadap isu Palestin, terutama selepas serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023.
Perdana Menteri Finland, Petteri Orpo turut dilaporkan berkata kerajaan pimpinannya kini sedang mengkaji waktu yang paling sesuai untuk melaksanakan pengiktirafan rasmi, dengan mengambil kira konsensus serantau dan kerjasama dengan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) lain.
Langkah ini dijangka meningkatkan lagi tekanan antarabangsa terhadap Israel agar menghentikan tindakan kekerasan dan membuka semula rundingan damai yang tuntas.
Sementara itu, Malaysia menyambut baik isyarat daripada Finland. Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini turut menyatakan bahawa semakin banyak negara di dunia kini lantang bersuara dan menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.



