JOHOR BAHRU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa pandangan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan baru-baru ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pendirian rasmi parti tersebut terhadap Barisan Nasional (BN).
Menurut Johari, kenyataan berbentuk emosional yang dibuat individu sewajarnya ditangani dengan tenang dan tidak dilihat sebagai keputusan muktamad parti.
“Kalau individu, semua orang nak bercakap, tetapi jika parti dia buat keputusan, itu nanti saya bagi komen. Sekarang, tak boleh bagi komen,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai.
Johari juga menyifatkan pandangan Saravanan sebagai luahan dalam keadaan tertekan.
“Individu kadang-kadang ‘out of anger’, jadi kita biar dululah, jangan mengeruhkan suasana, tetapi kalau parti masing-masing buat keputusan, itu cerita lain,” katanya.
Saravanan sebelum ini meluahkan kekecewaannya terhadap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mendakwa janji pemberian kerusi Kabinet kepada MIC tidak ditunaikan selepas parti itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Kenyataan beliau turut mencetus perdebatan terbuka dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mempertikaikan tindakan MIC mempertikaikan peranan mereka dalam kerajaan perpaduan.
Namun Johari menekankan, selama mana belum ada keputusan rasmi daripada MIC, segala pandangan peribadi perlu dilihat dalam konteks emosi, bukan dasar.
“Ada ke (kenyataan Saravanan), bila dia cakap? Dia cakap atau parti dia cakap? Dia tak boleh (buat begitu),” katanya sambil menyebut bahawa pemimpin lain dalam BN juga kerap menyuarakan pandangan berbeza, namun tetap akur dengan keputusan parti secara keseluruhan.



