Suara Dunia Makin Tegas Kecam Penindasan Israel – Menteri Luar

SHAH ALAM – Malaysia menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah Palestin serta menyeru tindakan global yang lebih menyeluruh bagi menamatkan kekejaman rejim Zionis Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyatakan bahawa masyarakat antarabangsa kini dilihat lebih berani dan vokal dalam menolak penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin, khususnya selepas penganjuran Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi mengenai penyelesaian konflik tersebut di New York baru-baru ini.

“Malaysia mengambil maklum hasil persidangan yang diadakan di New York baru-baru ini yang menyaksikan sokongan antarabangsa meluas terhadap pelaksanaan penyelesaian dua negara,” kata Mohamad.

Beliau berkata, peralihan sikap global itu memperlihatkan kecenderungan kepada pendekatan yang lebih berorientasikan tindakan dan realistik bagi memastikan rakyat Palestin memperoleh hak yang sekian lama dinafikan.

Selain menggesa pengiktirafan penuh terhadap negara Palestin merdeka bersempadankan garisan pra-1967, Malaysia turut menekankan peri pentingnya keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami tetap teguh menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” tegas beliau.

Dalam kenyataan sama, Mohamad turut mengutuk sekatan yang dikenakan Israel terhadap akses bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang disifatkan sebagai pelanggaran berat terhadap undang-undang antarabangsa.

“Kegagalan Israel merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” ujarnya.

Beliau memaklumkan lebih 60,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, manakala 1.9 juta lagi dipaksa berpindah. Situasi ini mengakibatkan kekurangan bekalan asas seperti makanan, air bersih, ubat-ubatan dan bahan api.

“Rejim Zionis terus menyekat penyampaian bantuan kemanusiaan hingga menyebabkan kekurangan makanan, air bersih, bekalan perubatan dan bahan api,” katanya.

Mohamad juga mengecam pembunuhan lebih 1,300 penduduk awam yang didakwa berlaku ketika mereka sedang beratur mendapatkan bantuan dari Gaza Humanitarian Foundation (GHF).

“Lebih menyayat hati, lebih 1,300 rakyat Palestin terbunuh secara kejam hanya kerana beratur untuk menerima bantuan daripada Gaza Humanitarian Foundation (GHF) sejak akhir Mei 2025,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa jenayah tersebut tidak harus dibiarkan tanpa tindakan dan mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat