Laporan Audit Negara 2/2025 perkukuhkan agenda reformasi Perdana Menteri

KUALA LUMPUR,– Usaha reformasi tadbir urus negara yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menunjukkan kemajuan apabila Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Julai dan akan dibahaskan secara menyeluruh pada 23 Julai ini.

Laporan ini, yang telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, menjadi bukti komitmen kerajaan terhadap prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.

Menurut Ketua Audit Negara, Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, LKAN 2/2025 merangkumi penilaian ke atas lima program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian dengan nilai keseluruhan RM48.873 bilion. Beliau menegaskan bahawa angka ini bukanlah jumlah ketirisan atau kerugian seperti yang disensasikan oleh beberapa pihak, sebaliknya merupakan nilai projek yang diaudit berdasarkan prestasi pelaksanaan dan pematuhan.

“Laporan ini menyentuh isu-isu semasa dan legasi terdahulu, dengan matlamat memperkukuh sistem dalaman, pematuhan dan kecekapan operasi kementerian dan agensi kerajaan. Ia adalah sebahagian daripada pemerkasaan agenda reformasi sektor awam di bawah pentadbiran MADANI,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Audit yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara tidak bersifat mencari salah, sebaliknya memberi tumpuan kepada penambahbaikan secara konstruktif. Setiap dapatan disusuli dengan cadangan penyelesaian dan tindakan korektif untuk membantu kerajaan memperbaiki kelemahan struktur dan prosedur.

Sebanyak 44 isu yang dibangkitkan dalam LKAN 2/2025 telah dimuat naik ke Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara untuk disusuli oleh kementerian dan jabatan berkaitan. Proses pemantauan ini juga akan diteruskan menerusi dua mekanisme utama Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN) dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Audit Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

RM157.73 Juta Dikembalikan kepada Negara

Salah satu kejayaan besar hasil tindakan susulan audit ialah kejayaan mengutip semula wang negara yang sepatutnya diperoleh. Bagi tempoh tahun 2024 hingga Jun 2025, sebanyak RM157.73 juta telah berjaya dikutip hasil tindakan susulan oleh Jabatan Audit Negara. Jumlah ini termasuk tuntutan penalti, kutipan sewa tertunggak, pajakan tanah, duti dan cukai, serta Liquidated Ascertained Damages (LAD) akibat kelewatan projek.

“Ini membuktikan bahawa audit awam bukan sahaja membantu membongkar kelemahan, malah menghasilkan pulangan kewangan langsung kepada negara,” ujar Wan Suraya.

Jabatan Audit Negara turut menasihati rakyat agar mendapatkan gambaran yang tepat dan menyeluruh berkenaan laporan audit melalui laman sesawang rasmi mereka di www.audit.gov.my. Kenyataan ini dikeluarkan susulan beberapa laporan media yang didapati mengelirukan dan menggambarkan angka RM48 bilion sebagai jumlah kerugian negara.

“Adalah penting untuk rakyat memahami konteks laporan secara menyeluruh, bukan sekadar membaca angka besar yang sensasi tanpa memahami isi kandungan dan pendekatan audit,” tambah beliau lagi.

Laporan Ketua Audit Negara adalah dokumen penting yang menggalas fungsi semak dan imbang dalam sistem demokrasi. Ia bukan hanya untuk meneliti salah guna kuasa, malah berperanan memastikan dana awam dimanfaatkan secara optimum untuk kepentingan rakyat. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat