SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dilihat tenang ketika berhadapan kemarahan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang secara terbuka mempersoalkan tindakan beliau mengutus surat menyatakan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Dalam rakaman video yang tular di media sosial, kekecohan kelihatan berlaku di sebuah Masjid di Negeri Sembilan. Tuanku Muhriz pada mulanya kedengaran berkata baginda datang ke situ untuk menunaikan solat, sebelum membangkitkan surat Ismail kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Tuanku Muhriz kelihatan agak marah dan bercakap secara berselang-seli kepada orang di sekeliling serta Ismail yang turut berada di situ.
“Ismail bin Lasim telah tulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu baru-baru ini mengatakan keputusan yang beliau buat dengan Exco itu sah. Dan saya ini bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Jadi hari ini dia datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik letter tu, jangan datang jumpa saya,” kata baginda.
Baginda kemudian secara terus meminta Ismail beredar dan menyatakan keengganan untuk bertemu beliau.
“Go away,
. I don’t want to see you. Okay? You understand? I am Yang di-Pertuan Besar or not? You say I’m not,” kata baginda.
Ismail kemudian menjawab ringkas, “Yes,” sambil mengangkat sembah.
Tuanku Muhriz meneruskan teguran dengan mengulangi bahawa Ismail telah menulis mengenai kedudukan baginda kepada pihak berkaitan Majlis Raja-Raja.
“You say I’m not. You already tulis kepada kepimpinan besar Majlis Raja-Raja kata I’m not.”
Ismail bagaimanapun tidak memberikan jawapan lanjut terhadap teguran tersebut, sebaliknya sekadar mengangkat sembah.
Sepanjang pertukaran kata itu, beliau dilihat tidak membalas dengan nada tinggi meskipun Tuanku Muhriz secara terbuka menyatakan kemarahan serta menuntut surat berkenaan ditarik balik.



