KUALA LUMPUR – Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Khairuddin Aman Razali menilai kenyataan Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) terhadap kekhilafan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih bersifat kepentingan politik kepartian berbanding memberikan pandangan nasihat oleh ulamak apabila menyindir Presiden Umno itu dengan mengaitkan kononnya “tiada apa yang perlu dibanggakan dengan pertuduhan yang telah dihadap terhadap beliau” yang kononnya “diselamatkan oleh peguam negara.
Khairuddin berkata, sebaiknya Dewan Ulamak Pas menegur para pengikut parti itu yang masih terus menjadikan insiden kekhilafan ini sebagai isu politik dengan mengecam dan menghina Presiden Umno atas kehilafan tersebut setelah beliau memohon ampun kepada Allah.
“Saya membaca kenyataan media oleh Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengulas insiden kekhilafan Presiden Umno ketika berucap melibatkan metafora berkaitan Malaikat Allah.
“Namun, saya melihat kenyataan tersebut lebih bersifat kepentingan politik kepartian berbanding memberikan pandangan nasihat oleh ulamak apabila menyindir Presiden Umno dengan mengaitkan kononnya “tiada apa yang perlu dibanggakan dengan pertuduhan yang telah dihadap terhadap beliau” yang kononnya “diselamatkan oleh peguam negara” menurut DUPP.
“Sebagai rekod, Presiden Umno telah memohon ampun kepada Allah atas kekhilafan beliau dalam insiden tersebut. Ia adalah sifat tawaduk merendah diri seorang pemimpin sebagai hamba Allah segera mengakui kesilapan dan memohon ampun kepada Allah atas kesalahan.
“Ia juga menjadi teladan yang baik bagi pemimpin-pemimpin politik negara. Dan taubat adalah perkara yang wajib dan akhlak mulia seorang hamba yang diangkat oleh Allah Taala.
“Maka, sebaiknya Dewan Ulamak Pas pula menegur para pengikut parti yang masih terus menjadikan insiden kekhilafan ini sebagai isu politik dengan mengecam dan menghina Presiden Umno atas kehilafan tersebut setelah beliau memohon ampun kepada Allah,” tegur Khairuddin.
Ujar beliau lagi, sebagai satu dewan menghimpunkan para alim ulamak dalam Pas, DUPP perlu konsistan dengan prinsip keadilan Islam melibatkan apa sahaja pertuduhan di mahkamah apatah lagi apabila “dibebaskan tanpa dilepaskan” oleh mahkamah dan tidak menjadikan apa-apa pertuduhan di mahkamah sebagai modal politik murahan.
Justeru, Khairuddin menasihatkan Dewan Ulamak Pas Pusat agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sentiasa berada di atas prinsip Islam dalam berinteraksi dengan kawan dan lawan politik kepartian.
Sebelum itu, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Ahmad Yahaya berkata, ucapan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengungkapkan kata-kata menyentuh nama Allah SWT dan para malaikat disifatkan boleh membawa risiko terhadap kefahaman akidah umat Islam.
Ahmad berkata berkata, ungkapan seperti itu boleh menggambarkan Allah SWT seolah-olah tidak bijaksana dalam membuat ketetapan, serta mencemarkan martabat para Malaikat yang maksum dan sentiasa taat kepada perintah-Nya.
Tambah beliau, penggunaan nama Allah dan Malaikat dalam bentuk perbandingan politik tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila ianya dilafazkan dengan nada mendabik dada.
Dalam kenyataan sama, DUPP turut menyentuh isu integriti apabila mengingatkan bahawa kes Zahid Hamidi pernah melepasi fasa prima facie di mahkamah, sebelum ditarik balik oleh Peguam Negara ketika itu.
“Ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan atau dijadikan ‘penyelamat’ kepada partinya.
“Malah ia mengundang persoalan besar terhadap kredibiliti sistem keadilan negara,” tambah beliau.
DUPP menyeru agar Zahid menginsafi keterlanjuran tersebut dan memohon keampunan kepada Allah SWT, kerana ia menyentuh perkara yang amat sensitif dalam agama.