KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Johor didesak berhenti menunggang nama institusi diraja demi kepentingan politik sempit.
Menurut Naib Ketua Pemuda Umno Johor Dr Mohammad Aswad Ithnain, titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail adalah lambang kasih dan tanggungjawab raja kepada rakyat, bukan tiket untuk menagih perhatian bila sudah kehilangan arah.
“Kami mengambil maklum kenyataan media Armada Bersatu Johor bertarikh 8 Julai 2025. Malangnya, kenyataan tersebut sekali lagi memperlihatkan kegagalan Armada untuk mentafsir dan memahami maksud sebenar titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
“Titah Tuanku bukanlah ‘wake-up call’ untuk dijaja sebagai senjata politik, tetapi satu amanat penuh harapan dalam membakar semangat semua pihak untuk memperkukuh usaha membangunkan Johor yang lebih maju, sejahtera dan berdaya saing.
“Titah ini tidak pernah memperlekeh Kerajaan Negeri, malah menyokong hala tuju yang sedang dilaksanakan,” tempelak Aswad dalam kenyataan pada Rabu.
Ironinya tegas beliau, pihak yang pernah memegang kuasa dahulu tetapi gagal menoktahkan masalah rakyat, kini tampil berselindung di sebalik nama institusi diraja untuk meraih simpati politik.
Ujarnya, ketika diberi peluang mentadbir, apa sumbangan sebenar Bersatu dan Armada untuk Bangsa Johor? Rakyat tidak lupa rekod hambar mereka.
“Fakta tidak boleh diputar belit. Johor kini muncul negeri dengan pertumbuhan KDNK tertinggi di Malaysia pada 2024, iaitu 6.4 peratus, melepasi purata nasional. Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal melonjakkan pendapatan rakyat juga lahir daripada keberanian Kerajaan Negeri menggubal dasar berani, bukan sekadar retorik politik atas pentas ceramah.
“Kepada Armada Johor, cukuplah menunggang nama institusi diraja demi kepentingan politik sempit. Titah Tuanku adalah lambang kasih dan tanggungjawab raja kepada rakyat, bukan tiket untuk menagih perhatian bila sudah kehilangan arah.
“Bangsa Johor tidak perlukan pendusta persepsi. Bangsa Johor perlukan pemimpin yang benar-benar bekerja,” tegas Aswad.
Sebelum itu Armada Johor berkata, titah Tunku merupakan cerminan suara hati rakyat Johor yang telah lama menanggung akibat kelemahan urus tadbir negeri serta kegagalan menyuarakan kepentingan Johor di peringkat Persekutuan.
Kata Ketuanya Alias Rasman, titah ini juga merupakan satu ‘wake-up call’ kepada sebuah kerajaan yang semakin selesa di tampuk kuasa, namun masih gagal mengurus perkara asas seperti gaji bermaruah, perkhidmatan kesihatan dan bekalan air bersih untuk rakyat.
Beliau menyambut baik titah Pemangku Sultan Johor yang menyentuh isu-isu asas kesejahteraan rakyat Johor termasuk pembukaan Hospital Pasir Gudang, cadangan gaji minimum RM4,000 di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), serta pembangunan sistem bekalan air yang mampan dan lestari.