KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tempoh masa dan proses memuktamadkan pelantikan khususnya bagi jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan adalah tertakluk kepada tatacara yang telah ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan itu memaklumkan ia hendaklah mengambil kira segala aspek termasuk keperluan berunding dan penjalanan kuasa budi bicara mengikut kerangka perlembagaan sedia ada.
Dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dianggap sekadar “konduit” yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman.
“Jabatan ini dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu dan pelantikan tersebut masih perlu melalui beberapa formaliti. Justeru, pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur.
“Situasi pada masa ini hendaklah diawasi dan diharap tiada pihak yang akan bertindak terburu-buru. Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan suatu krisis perlembagaan.
“Sistem pelantikan hendaklah dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Semua pihak hendaklah sentiasa bertanggungjawab untuk menegakkan keluhuran undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa. Tanggungjawab tersebut boleh dilaksanakan sebaik-baiknya dengan memperkukuhkan kematangan institusi dan bukan dengan hanya membuat spekulasi yang tidak berasas,” tegas Jabatan itu dalam kenyataan pada Selasa.
Jabatan itu berkata demikian merujuk kepada kenyataan media oleh Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli bersama beberapa Ahli Parlimen yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung dengan pelantikan dalam badan kehakiman, termasuk jawatan tertinggi dalam institusi tersebut.
Ujarnya, jabatan berkenaan mengiktiraf kepentingan keyakinan rakyat dalam proses pemilihan kehakiman dan menegaskan prinsip kebebasan badan kehakiman sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Pelantikan hakim mahkamah atasan telah diperuntukkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan hakim hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] merupakan undang-undang yang memperincikan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak secara eksklusif kepada Perdana Menteri.
“Berhubung dengan kenyataan bahawa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dipanggil tanpa notis yang mencukupi menurut seksyen 13(2) Akta 695, perlu dinyatakan bahawa JAC boleh mengawalselia prosedurnya sendiri. Apabila terdapat keadaan yang mendesak, pada lazimnya pihak berkuasa boleh meneruskan mesyuarat dengan notis yang pendek sekiranya terdapat persetujuan semua anggota. Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau prejudis yang jelas.
“Tuduhan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim merupakan dakwaan yang serius.
“Walau bagaimanapun, pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang. Tuduhan tersebut tidak boleh disamakan dengan salah laku yang telah pun dibuktikan atau menjejaskan kebebasan kehakiman dan ia kekal sebagai dakwaan pra-matang serta bersifat spekulatif semata-mata.
“Perbandingan dengan kes VK Lingam pada tahun 2007 adalah suatu perkara yang tidak wajar (unwarranted) pada peringkat ini. Kes tersebut melibatkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu. Keadaan tersebut adalah berbeza dengan senario semasa yang mana tuduhan/dakwaan hanya bersandarkan kepada ketidakaturan dari aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh,” katanya.
Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola institusi melalui penubuhan jawatankuasa di bawahnya.
“Namun begitu, hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya penjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.
“Kedua-dua institusi ini hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Jabatan ini akan sentiasa menasihati kerajaan dalam urusan pentadbiran keadilan sekiranya terdapat keterangan yang berasas.
“Dalam ketiadaan keterangan sedemikian, semua pihak yang diberi kuasa menurut undang-undang perlu diberi ruang untuk melunaskan tanggungjawab mereka tanpa sebarang tekanan, spekulasi atau kempen awam,” jelasnya.