Kerajaan Terengganu sambut baik inisiatif program Minggu Sains Negara 2025

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyambut baik inisiatif program Minggu Sains Negara (MSN) 2025 yang dibawakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai satu usaha penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Menteri Besarnya, Dato’ Hj. Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival MSN 2025 Zon Timur di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri menekankan komitmen untuk terus menyokong inisiatif ini dengan melibatkan penyertaan agensi-agensi negeri dan sektor swasta dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berlandaskan STI.

Menurutnya lagi, program seperti Rehlah Sains hasil kerjasama Pusat Sains Negara (PSN), Yayasan Terengganu dan institusi tahfiz seperti Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman telah berjaya dianjurkan pada 2024 dengan penglibatan lebih 1,700 pelajar.

“Ia menunjukkan Rehlah Sains yang bertujuan untuk mendekatkan pelajar sekolah agama dan tahfiz dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berada pada landasan yang baik dan merupakan satu inisiatif yang tepat.

“Komitmen kerajaan negeri terhadap bidang STI ini adalah dengan penubuhan PSKT yang merupakan pusat sains pertama di Zon Timur dan ketiga di Malaysia selepas PSN Kuala Lumpur dan Kedah,“katanya.

“Karnival MSN ini bukan sekadar program, tetapi satu iltizam, satu komitmen bahawa anak-anak Terengganu tidak akan ketinggalan dalam arus pemodenan berteraskan sains dan nilai Islam,”katanya lagi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Nara Setia,
Dato’ Zulkifli Ali; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei; Pengarah PSN, Mohammad Fuad Rahman; dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang
berkata, penganjuran MSN 2025 bukan sekadar satu program tahunan, ia adalah platform penting untuk menyemai minat, membina kesedaran dan memperkukuh ekosistem bakat dalam bidang STI.

“Dalam menghadapi gelombang teknologi baharu seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi hijau, Malaysia tidak boleh hanya menjadi pengguna, kita mesti melahirkan pencipta dan peneraju.

“Kementerian komited untuk memastikan bakat tempatan dibina secara inklusif dan berterusan agar negara bukan sahaja bersedia, malah mampu menerajui transformasi teknologi dan ekonomi masa depan, ”katanya.

Dalam pada itu, lebih 5,000 peserta terdiri daripada pelajar, guru, pensyarah, penyelidik dan pemain industri dari seluruh Pantai Timur hadir memeriahkan MSN 2025 Zon Timur.

Karnival MSN 2025 telah bermula di Sarawak pada April, diikuti Terengganu, Sabah, Johor, Kedah dan akan berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada November ini menyasarkan lebih 300 ribu penyertaan dengan menawarkan lebih 50 aktiviti berteraskan STI,.

Setiap lokasi akan dimeriahkan dengan aktiviti yang menarik antaranya, pameran interaktif STEM, persembahan sains, kuiz sains, bengkel untuk pendidik, dan pameran kerjaya berasaskan teknologi masa depan .-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat