KUALA LUMPUR – Pensyarah Dr Abu Hafiz Salleh Hudin sedia berdepan tindakan perundangan yang dimulakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar terhadapnya.
Abu Hafiz bagaimana menolak tuduhan yang dia memfitnah Menteri Agama itu, sebaliknya hanya melontarkan kritikan.
“Insya-Allah urusan perundangan dalam saman menteri agama, saya akan diwakili saudara Faizal Rahman dari MESSRS Faizal Rahman & Co.
“Saya nafikan tuduhan fitnah yang dituduhkan. Apa yang berlaku itu melibatkan hak orang awam untuk kritik menteri sebagai pembuat dasar yang memberi impak pada masyarakat awam di Malaysia.
“Ada pun menteri itu tidak kebal untuk dikritik dan terdapat isu kepentingan awam yang perlu disuarakan dalam negara demokrasi,” memetik Malaysiakini pada Rabu.
Semalam, media melaporkan Mohd Na’im memfailkan saman fitnah terhadap Abu Hafiz minggu lalu.
Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Akberdin & Co, pada 14 Jun lalu.
Saman dikemukakan Na’im berhubung kenyataan berbaur fitnah yang didakwa disiarkan Abu Hafiz selaku defendan di aplikasi X dan laman sosial Facebook.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Mohd Na’im berkata, sejak penghujung 2024, defendan menunjukkan pola konsisten menerusi pelbagai kenyataan awam, sama ada melalui posting di akaun X atau akaun Facebook miliknya atau kenyataan yang disiarkan portal berita.
Plaintif berkata, ia secara langsung atau tidak langsung menyentuh dan menyerang dirinya secara tidak adil dan keterlaluan.