KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan menyangkal aktiviti mendulang sumber mineral secara haram di negeri ini didalangi sindiket, sebaliknya kesemua empat kes yang dilaporkan berlaku di Hutan Simpan (HS) dilakukan secara kecil-kecilan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia hasil semakan dengan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan yang mendapati rakyat mendulang sumber mineral termasuk emas.
Katanya, tidak berlaku perlombongan sumber mineral secara haram di HS di negeri ini dijalankan besar-besaran.
“Sebenarnya perlombongan haram (sumber mineral) yang dimaksudkan adalah secara kecil-kecilan oleh rakyat yang mendulang.
“Setakat daripada 2020 sehingga 2025, baru ada empat kes. Yang didapati mendulang secara haram termasuk emas adalah rakyat.
“Justeru, kita panggil dan memberi nasihat berhubung prosedur serta langkah-langkah keselamatan ketika mereka mendulang,” katanya selepas Mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim, lapor BH di Kota Bharu.
Beliau berkata, sekiranya ada yang melombong berskala besar secara haram, boleh lapor dan beri bukti kepada kerajaan negeri.
“Yang ada setakat ini bukan perlombongan haram tetapi ketidakpatuhan terhadap syarat melombong ditetapkan.
“Kalau dapati ada (lombong secara haram) boleh bawa bukti kepada kita dan akan ambil tindakan,” katanya.
Menurutnya, sebarang serbuan atau tindakan yang hendak dibuat oleh mana-mana agensi persekutuan hendaklah membabitkan agensi kerajaan negeri.
Terdahulu media melaporkan, aktiviti perlombongan mineral haram di Semenanjung kini semakin canggih dan mungkin membabitkan sindiket terancang.
Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim, berkata siasatan terhadap beberapa kes baru-baru ini terutama di Kelantan dan Pahang, menunjukkan wujud operasi tersusun dan sebahagiannya disyaki dikendalikan sindiket.