KUALA LUMPUR – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya memberikan ruang kepada pihak berkepentingan dan berautoriti untuk menyelesaikannya melalui saluran yang sah.
Dalam kenyataan bertarikh 14 Oktober 2026 yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan bahan politik atau medan perebutan kuasa.
“Isu yang sedang dihadapi, jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan atau ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut mengingatkan bahawa kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat serta mencemarkan kemuliaan institusi diraja.
Sehubungan itu, semua pihak yang terlibat dalam pertikaian takhta berkenaan diseru mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adab, adat serta maruah institusi diraja.
Menurut kenyataan tersebut, sebarang perbezaan pendirian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, secara beradab dan beradat dalam semangat syura serta musyawarah.
Penyelesaian itu juga hendaklah berlandaskan undang-undang dan berpandukan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa takhta merupakan suatu amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat.
Justeru, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat serta usaha memuliakan institusi diraja hendaklah sentiasa dipelihara sepanjang proses mencari penyelesaian.
Semua pihak turut diseru mengelakkan kenyataan yang boleh mengaibkan atau tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan.
“Usaha penyelesaian hendaklah diserahkan kepada pihak yang berkepentingan dan berautoriti untuk diselesaikan melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, Raja-Raja Melayu mengingatkan bahawa sebarang kenyataan atau tindakan tanpa memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan negeri boleh memburukkan keadaan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Orang ramai turut diseru supaya tidak menyebarkan khabar yang belum disahihkan atau terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Berikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut mendoakan agar semua pihak berkaitan dikurniakan kebijaksanaan untuk mengatasi emosi serta mencapai muafakat bagi mengatasi perselisihan.
Kepentingan Negeri Sembilan, kesejahteraan dan keharmonian rakyat serta kemuliaan institusi diraja ditegaskan sebagai keutamaan yang mesti didahulukan oleh semua pihak.
“Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” menurut kenyataan tersebut.



