‘KL aman, kejadian tembak berpunca perseteruan luar dibawa ke KL’ – Ketua Polis Kuala Lumpur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dua kes tembak mati masing-masing di Brickfields dan Cheras yang berlaku dalam tempoh empat hari tidak wajar dijadikan sebagai bukti untuk mencerminkan keadaan sekitar ibu negara tidak selamat.

Perkara itu dimaklumkan Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengambil kira punca kedua-dua kes terbabit yang dipercayai membabitkan perseteruan antara suspek dan mangsa.

Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian sekumpulan lelaki menembak mati dua lelaki di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras tengah malam tadi, dipercayai akibat aktiviti penyeludupan yang terjadi di Sibu, Sarawak.

Sementara kes tembak di Brickfields malam Jumaat lalu dipercayai akibat konflik aktiviti jenayah yang berlaku di Selangor.

Rusdi berkata, masyarakat di sekitar ibu negara tidak perlu bimbang dengan keselamatan dan ketenteraman awam di seluruh Kuala Lumpur.

“Ingin saya tegaskan bahawa semua kes-kes jenayah tembak yang berlaku ini adalah akibat masalah yang berlaku di luar kontinjen Kuala Lumpur dan dibawa ke sini.

“Seperti kes tembak di Cheras, tengah malam tadi, kedua-dua mangsa yang didapati mempunyai rekod jenayah baru tiba dari Sibu, Sarawak, dan datang ke mari (Kuala Lumpur) atas urusan peribadi.

“Berkemungkinan, pada masa sama mereka ini sememangnya diekori oleh seteru atau pihak yang tidak berpuas hati atau mempunyai dendam sebelum mencari masa dan waktu sesuai untuk menembak mati mereka,” katanya lapor BH pada Selasa.

Tambah Rusdi, berdasarkan semakan, kedua-dua mangsa mempunyai rekod jenayah dan disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan di Sarawak serta kejadian pembunuhan.

Beliau berkata, kes tembak membabitkan kematian seorang lelaki dan mencederakan dua lagi individu di Brickfields, Jumaat lalu, turut dilaporkan membabitkan perseteruan antara mangsa dan musuhnya di Selangor.

“Kes ini membabitkan masalah di Selangor, namun musuh mereka mencari masa yang sesuai untuk menembak mati mangsa ketika dia berada di restoran di Jalan Tun Sambathan, di sini.

“Malah mangsa yang ditembak juga didapati datang ke restoran berkenaan selepas dia dibebaskan dari tahanan reman akibat kes di Selangor,” katanya.

Katanya, meskipun kejadian yang berlaku ini berpunca daripada luar namun pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap komited melaksanakan siasatan dan menghadapkan mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Saya berharap masyarakat akan terus bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan pihak Polis Kuala Lumpur dalam membanteras sebarang aktiviti jenayah serta sebarang pelakuan yang boleh memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Keselamatan anda dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan kami warga Polis Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas siasatan kedua-dua kes itu, Rusdi berkata, pada masa ini pihaknya sudah menggerakkan semua elemen dalam mengenal pasti suspek terlibat dan mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat