Pada hari ini, Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, telah merasmikan pelancaran Garis Panduan Penjagaan Mata Komprehensif serta pengenalan rasmi modul latihan Enhanced Eye Care – satu inisiatif strategik yang dijangka membawa perubahan besar kepada sistem penjagaan kesihatan mata di Malaysia. Pelancaran ini menandakan permulaan era baharu dalam memperkasa peranan optometris bertauliah sebagai barisan hadapan dalam penjagaan kesihatan mata primer rakyat.
Usaha ini merupakan hasil kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Optik Malaysia, Persatuan Optometris Malaysia (POM) serta pakar oftalmologi dan sektor akademik dan swasta. Ia digerakkan sebagai respon kepada keperluan mendesak untuk menyusun semula peranan optometris dalam sistem kesihatan negara, terutama selepas cabaran yang timbul semasa pandemik COVID-19.
Garis panduan yang dilancarkan hari ini merangkumi:
Modul Latihan “Enhanced Eye Care” (EEC)
- Mengandungi komponen credentialing dan privileging.
- Melatih optometris untuk pemeriksaan kesihatan mata menyeluruh, bukan sekadar pemeriksaan kuasa kanta (refraksi).
- Memastikan mereka bersedia dari segi integriti, ilmu klinikal, serta perlindungan insurans.
Proses Saringan & Rujukan Standard
- Memberi panduan kepada optometris dalam mengenalpasti penyakit mata awal dan merujuk kepada pakar oftalmologi jika perlu.
- Menangani isu rujukan lambat dan pembaziran sumber di hospital awam.
Sistem Pendaftaran & Rekod Pesakit
- Setiap optometris bertauliah akan mempunyai rekod kesihatan berpusat.
- Membolehkan rujukan berulang dan rekod konsisten seperti amalan doktor perubatan am (GP)
Selepas majlis pelancaran, Presiden Persatuan Optometris Malaysia, Ahmad Fadzullah Fuzai bersama, penasihat persatuan, Datuk Dr. Murphy Chan dan Woon Pak Seong dalam satu sidang media khas, menjelaskan latar belakang dan kepentingan inisiatif ini. Menurut beliau, selama ini profesion optometri sering disalah anggap sebagai sebahagian daripada industri peruncitan semata-mata, khususnya kerana kaitannya dengan penjualan cermin mata. Namun hakikatnya, optometris terlatih berperanan penting dalam melakukan saringan awal dan pengesanan penyakit mata seperti katarak, glaukoma dan retinopati diabetes — dan seharusnya diiktiraf sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan primer mata.
Jelas beliau lagi, cetusan asal projek ini bermula sekitar bulan Ramadan 2024 selepas satu pertemuan antara pihak POM dan Menteri Kesihatan. Dalam pertemuan tersebut, Menteri memberi sokongan penuh untuk memperkukuh profesion optometri, dan hasilnya satu jawatankuasa khas dibentuk melibatkan pelbagai agensi dan pakar. Dalam tempoh kurang setahun, garis panduan klinikal disiapkan dan modul latihan Enhanced Eye Care dibangunkan dengan teliti.

Pelancaran hari ini membawa beberapa implikasi penting kepada sistem kesihatan negara:
Pertama, ia mengurangkan beban hospital awam dengan membolehkan kes-kes ringan seperti jangkitan mata, kekeringan, atau kabur penglihatan ditangani terus oleh optometris terlatih tanpa memerlukan rujukan awal ke hospital. Ini mempercepatkan akses rawatan dan membantu klinik pakar oftalmologi menumpukan kepada kes-kes kompleks.
Kedua, ia membina semula keyakinan masyarakat terhadap peranan sebenar optometris – bukan sekadar menjual cermin mata, tetapi juga sebagai barisan hadapan dalam menjaga kesihatan mata rakyat secara menyeluruh.
Ketiga, inisiatif ini memberi ruang kepada pengiktirafan profesional dan pembezaan yang jelas antara optometris bertauliah dan pengamal tidak rasmi. Antara langkah yang diumumkan ialah pengenalan satu logo khas (mirip logo “Rx” pada farmasi) untuk premis optometris terlatih, yang akan membantu orang awam mengenal pasti tempat rawatan yang betul dan selamat.
Keempat, pelaksanaan sistem yang teratur ini juga membuka potensi kepada kerjasama dengan syarikat insurans, bagi meluaskan akses kepada pemeriksaan dan rawatan awal mata yang ditanggung insurans, selaras dengan pendekatan kesihatan pencegahan yang lebih menyeluruh.
Dalam fasa awal, modul Enhanced Eye Care akan dimulakan pada Ogos 2025 dan dijangka melibatkan antara 60 hingga 100 optometris dari seluruh negara. Modul ini mengandungi latihan berstruktur yang merangkumi penggunaan ubat mata, dokumentasi klinikal, serta prosedur rujukan kes ke pakar. Latihan ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga melibatkan semua optometris di seluruh negara.
Ahmad Fadzullah turut memaklumkan bahawa terdapat lebih 3,400 optometris di Malaysia, dengan kira-kira 300 berkhidmat dalam sistem kesihatan awam di bawah KKM, manakala lebih 1,500 berada di sektor swasta. Selebihnya berperanan dalam bidang akademik, industri dan perkilangan. Dengan sokongan kerajaan dan penglibatan pelbagai pemegang taruh, beliau yakin Malaysia mampu mewujudkan satu sistem penjagaan mata primer yang lebih tersusun dan efektif.
Sebagai langkah susulan, persatuan juga akan memperkenalkan direktori dalam talian untuk memudahkan orang awam mendapatkan maklumat tentang lokasi premis optometris bertauliah berhampiran mereka. Ini sekaligus akan meningkatkan akses rakyat kepada rawatan awal yang berkualiti dan boleh dipercayai.
Pelancaran ini membuktikan bahawa penjagaan mata yang menyeluruh memerlukan pendekatan kolaboratif antara kerajaan, profesional kesihatan dan masyarakat. Ia juga menandakan komitmen negara untuk melangkah ke arah sistem kesihatan yang lebih pencegahan, cekap dan berfokus kepada rakyat.



