KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 28 kes kematian akibat kemalangan membabitkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah direkodkan sehingga Ogos tahun ini.
“Pada malam Hari Kebangsaan lalu, seramai empat orang maut termasuk sepasang suami isteri dan anak kecil mereka, dalam nahas di LPT1, Temerloh.
“Tragedi seumpama ini menyentak sanubari kita, bahawa walaupun penguatkuasaan telah diperketat, namun pelanggaran peraturan masih lagi membimbangkan,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Kerajaan juga akan mewajibkan pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko.
Sistem itu turut akan dihubungkan dengan alat pengesan alkohol bagi memastikan pemandu tidak berada di bawah pengaruh alkohol sebelum memulakan perjalanan.
Pelaksanaan secara sukarela akan dijalankan sehingga 2027, sementara kerajaan membangunkan pangkalan data pemandu bagi memperkukuh penguatkuasaan.
Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk memandu.



