KUALA LUMPUR – Keberanian Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘membalun’ pemimpin dunia ketika menyuarakan isu Palestin di pentas antarabangsa didedahkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mengakui beliau sendiri kadangkala terpaksa mengingatkan Perdana Menteri supaya berhati-hati demi keselamatannya.
Mohamad mendedahkan, Anwar tidak pernah melepaskan peluang membangkitkan isu Gaza dalam mesyuarat ASEAN, BRICS, APEC dan pelbagai forum antarabangsa lain.
“Yang Amat Berhormat (Anwar) akan bersuara dengan keras dan tidak pernah tinggal agenda tentang Gaza. Ini saya akui.
“Sampai saya terpaksa cakap, beritahu Datuk Seri, cukuplah. Cukuplah itu, sebab kita risau juga keselamatan beliau juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai pendirian Malaysia terhadap tindakan Israel di Gaza serta usaha menggerakkan ASEAN supaya mengambil pendekatan lebih tegas terhadap konflik berkenaan, memetik laporan Malaysia Gazette pada Selasa.
Menurut Mohamad, ketegasan Malaysia dalam isu Palestin bukan sekadar ditunjukkan melalui kenyataan di ASEAN, malah dibawa secara konsisten dalam pelbagai platform antarabangsa.
Katanya, Malaysia terus menggunakan ruang yang ada untuk mendesak masyarakat antarabangsa memberi perhatian kepada penderitaan rakyat Palestin dan tindakan Israel.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan usaha mendapatkan pendirian bersama ASEAN berdepan cabaran kerana keputusan blok serantau itu memerlukan konsensus semua negara anggota.
Tambahnya, Malaysia mencatat kemajuan ketika memegang kepengerusian ASEAN apabila berjaya mendapatkan kenyataan bersama mengenai isu Palestin buat pertama kali.
Kenyataan bersama itu mengecam keganasan terhadap rakyat Palestin di Gaza serta pencerobohan peneroka Israel di Tebing Barat.
Beliau berkata, pendekatan ASEAN berbeza daripada Kesatuan Eropah, memandangkan setiap negara anggota mempunyai pendirian tersendiri dan sebarang keputusan perlu mengambil kira keperluan mencapai persetujuan bersama.
Dalam usaha meningkatkan tekanan terhadap Israel, Malaysia turut bekerjasama dengan Afrika Selatan menerusi platform antarabangsa, termasuk The Hague Group dan inisiatif di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mohamad berkata, Malaysia kekal sebagai penaja bersama dalam usaha membawa isu Palestin ke peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, cadangan supaya Malaysia mengambil peranan sebagai co-check bersama Afrika Selatan memerlukan penelitian lanjut kerana Malaysia bukan negara pihak kepada konvensyen berkaitan, selain terdapat pertimbangan perlembagaan yang perlu diambil kira.
Dalam perbahasan sama, keperluan bantuan kemanusiaan segera kepada penduduk Gaza menjelang musim sejuk turut dibangkitkan, khususnya bekalan pakaian sejuk dan ubat-ubatan.
Penyaluran bantuan ke Gaza masih berdepan kesukaran, namun usaha mencari saluran bagi memastikan bantuan sampai kepada penduduk Palestin perlu diteruskan.
Mohamad turut menegaskan kepentingan tekanan antarabangsa berterusan bagi memastikan isu Palestin tidak diketepikan daripada agenda perbincangan dunia.


