KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad menegaskan penyelidikan dan inovasi sawit perlu diperkukuh bagi meningkatkan produktiviti ladang, mengurangkan kehilangan hasil serta menambah pendapatan pekebun kecil.
Bercakap ketika merasmikan Oils and Fats International Congress (OFIC) 2026 anjuran Persatuan Ahli Sains dan Teknologi Minyak Malaysia (MOSTA) yang bertemakan “Palm Oil: A Powerhouse for Food, Feed, Fibre and Fuel”, Noraini berkata, kongres ini menjadi platform penting untuk menghimpunkan penyelidik dan pemain industri bagi meneroka potensi serta memperluas inovasi dalam industri sawit negara.
Menurut beliau, penggunaan bahan tanaman berkualiti, teknologi penuaian yang lebih cekap serta amalan pengurusan ladang yang baik perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kehilangan hasil dan seterusnya menambah pendapatan pekebun kecil.
“Potensi sawit dalam empat sektor utama – makanan, makanan ternakan, gentian dan bahan api (food, feed, fibre and fuel) perlu dimanfaatkan melalui pembangunan teknologi dan produk bernilai tambah.
“Penggunaan bahan tanaman berkualiti, teknologi penuaian yang lebih cekap serta amalan pengurusan ladang yang baik perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kehilangan hasil dan seterusnya menambah pendapatan pekebun kecil.
“Pada masa yang sama, kita perlu memastikan golongan ini mendapat akses kepada teknologi yang mampu milik, latihan dan bimbingan yang bersesuaian. Pematuhan kepada Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) juga penting bagi memastikan industri sawit negara terus berkembang secara bertanggungjawab dan mampan.
“Saya yakin, melalui kerjasama erat antara penyelidik, pemain industri dan kerajaan, kita mampu memperkukuh daya saing industri sawit Malaysia serta meneroka lebih banyak peluang nilai tambah dalam sektor makanan, makanan ternakan, gentian dan bahan api,” kata Noraini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pPembangunan makanan ternakan berasaskan sawit, termasuk penambahbaikan kualiti hampas isirung sawit, berpotensi memperluas sumber makanan ternakan tempatan dan membantu mengurus kos penternakan.
“Penggunaan biojisim dan biogas sawit berpotensi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, menjana tenaga serta mengurangkan pelepasan melalui pemerangkapan metana.
“Kerjasama penyelidik dan industri perlu dipertingkat bagi mempercepat pengkomersialan inovasi melalui ujian lapangan, projek rintis dan pembangunan teknologi yang praktikal,” katanya.


