PRIME bantu komunikasi ketika bencana – Fahmi Fadzil

- Advertisement -

CYBERJAYA — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memperkenalkan peralatan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) bagi berdepan bencana dan kecemasan di tempat awam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PRIME berfungsi sebagai sokongan komunikasi membolehkan operasi menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dijalankan secara berkesan.

“PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak berasaskan kenderaan yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron.

“Sistem PRIME ini berfungsi sebagai sokongan interim komunikasi, membolehkan operasi menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dijalankan secara berkesan bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk di kawasan terpencil atau terjejas liputan bersesuaian dengan slogan PRIME iaitu “Ketersambungan Tanpa Batasan”, katanya ketika berucap merasmikan PRIME di ibu pejabat MCMC, hari ini.

Tanbahnya PRIME berkeupayaan memastikan ketersambungan komunikasi yang stabil, fleksibel dan boleh dipercayai ketika operasi bantuan terutamanya apabila liputan komunikasi rangkaian terestrial sedia ada terganggu atau terhad.

“Pelaksanaan PRIME juga akan memperkukuh kerjasama antara MCMC dengan pelbagai agensi strategik dalam pengurusan bencana dan kecemasan, sekali gus meningkatkan kecekapan tindak balas dan ketahanan komunikasi negara.

“Selain itu, PRIME juga turut menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab digital bergerak yang membolehkan perkhidmatan Internet dipamerkan dan aktiviti komuniti dilaksanakan terus di lokasi sasaran,” katanya.

Jelasnya, inisiatif ini akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem komunikasi yang lebih inklusif dan responsif, serta menjadi pemangkin kepada transformasi digital masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Sebagai permulaan, tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat.

“Unit pertama yang dilancarkan hari ini akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC bagi menyokong operasi di Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi unit akan disiapkan menjelang akhir 2025 dan ditempatkan di Pejabat MCMC di Sabah dan Sarawak,” katanya.

author avatar
Jannah Jalidar
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat