Harga minyak melonjak ketara susulan konflik di Selat Hormuz – CEO Petronas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Peningkatan konflik di sekitar Selat Hormuz, laluan bagi 18 hingga 19 juta tong minyak atau 20 peratus daripada jumlah bekalan global setiap hari sejak beberapa hari lalu menyebabkan harga minyak melonjak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, walaupun ada yang menyifatkan ini sebagai lonjakan harga paling ketara sejak krisis tenaga 2022.

“Pun begitu kita perlu ingat bahawa ia berlaku ketika dunia masih dibelenggu bayangan tarif timbal balas.

“Meskipun kesan sebenar daripada semua peristiwa ini masih belum dapat diukur dengan tepat, sistem tenaga global yang sememangnya sudah tertekan akibat perkembangan semula jadi tamadun kita kini benar-benar berada dalam keadaan berisiko,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Energy Asia 2025, lapor BH pada Isnin.

Tengku Muhammad Taufik menambah, krisis tenaga di Eropah pada 2022 sepatutnya menjadi iktibar besar mengenai betapa rentannya sistem bekalan tenaga global terhadap kejutan geopolitik dan iklim.

Selain itu katanya, lonjakan permintaan terhadap tenaga elektrik turut didorong oleh perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), terutamanya dalam sektor pusat data.

“Permintaan elektrik daripada pusat data dijangka melonjak kepada 945 terawatt menjelang 2030 berbanding 415 terawatt pada 2024 lebih dua kali ganda dalam tempoh hanya enam tahun.

“Situasi ini menuntut penyesuaian segera dalam sistem tenaga dan pelaburan infrastruktur baharu bagi memenuhi lonjakan permintaan ini.

“Tenaga adalah pemacu kepada pembangunan manusia. Tiada revolusi teknologi yang akan berlaku tanpa sumber tenaga yang mencukupi, cekap dan boleh diakses,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Asia memerlukan pelaburan mencecah AS$90 trilion (kira-kira RM426 trilion) dalam sektor tenaga menjelang 2050 bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonominya dan dalam usaha mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih.

Menurutnya, pelaburan itu diperlukan untuk membina dan memperkukuh infrastruktur tenaga konvensional serta tenaga boleh diperbaharui yang mampu menampung lonjakan permintaan di Asia.

“Rantau ini akan mewakili 50 peratus permintaan tenaga global menjelang 2050. Untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan pada masa sama mencapai sifar bersih, sekitar AS$90 trilion diperlukan bagi tempoh sehingga 2050, khususnya bagi Asia,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata, dengan populasi Asia Pasifik dijangka meningkat kepada 5.2 bilion orang menjelang 2050, rantau ini akan terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi dan permintaan tenaga dunia.

Beliau berkata, pelaburan dalam sumber bahan api rendah karbon, tenaga boleh diperbaharui, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), serta gas asli bersih perlu dipergiatkan bagi menyeimbangkan keperluan kemajuan dengan kelestarian.

“Asia perlu berada di barisan hadapan dalam merealisasikan matlamat global mencapai pelepasan sifar bersih karbon, sejajar dengan kepentingannya sebagai rantau pengguna tenaga terbesar dunia menjelang 2050.

“Kejayaan dunia dalam menghadapi perubahan iklim tidak mungkin tercapai tanpa penyertaan aktif Asia. Di Energy Asia, kami percaya ini adalah era Asia. Kami percaya tiada sifar bersih tanpa Asia mencapainya,” katanya.

Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang bermula hari ini menghimpunkan hampir 3,000 peserta daripada 60 negara, merangkumi pelbagai industri termasuk minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, teknologi, logistik dan perkhidmatan profesional.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat