Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, tidak menolak kemungkinan beliau akan sekali lagi disenaraihitamkan daripada memasuki Sarawak sekiranya tidak lagi memegang jawatan dalam parti atau Kabinet.
Ketika berucap dalam siri kempen pemilihan parti di Kuching malam tadi, Rafizi berkata larangan sedemikian bukan perkara baru baginya dan pernah dialami sebelum beliau menjadi menteri.
“Saya sudah biasa. Dulu pun dilarang masuk Sarawak,” katanya sambil merujuk kepada tempoh antara 2013 hingga 2018 apabila beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH), termasuk dirinya, dihalang memasuki negeri itu oleh kerajaan negeri ketika itu di bawah pimpinan Barisan Nasional.
Memetik laporan Berita Harian, Rafizi berkata larangan itu hanya ditamatkan selepas PH membentuk kerajaan persekutuan pada 2018.
Kenyataan itu dibuat ketika Rafizi sedang berkempen untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR menjelang pemilihan parti pada 23 Mei ini. Pertembungan jawatan nombor dua dalam PKR menyaksikan saingan satu lawan satu antara beliau dan Nurul Izzah Anwar, yang juga Naib Presiden parti dan anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.