“Kalau Guna Logik Sama, Tutup PAS Terengganu?” – Bendera Tak Lengkap, Wu Sindir PAS

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Wu Jialiang, menempelak tindakan sesetengah pihak dalam PAS Terengganu berhubung kesilapan penggunaan Jalur Gemilang pada logo rasmi program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) anjuran parti itu.

Menurut beliau, isu tersebut memperlihatkan sikap tidak konsisten dan hipokrit PAS, apabila mereka yang dahulunya lantang mengkritik pihak lain atas kesalahan kecil seperti tersilap reka bentuk bendera, kini cuba berdiam diri apabila terpalit kesilapan serupa.

“Kalau guna logik yang sama, adakah perlu tutup PAS Terengganu? Atau lucutkan kewarganegaraan editor yang muat naik gambar bendera salah itu?” soal Wu dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman facebooknya.

Isu tercetus selepas akaun media sosial rasmi PAS Terengganu memuat naik poster rasmi acara TMT 1.0 yang memaparkan rekaan Jalur Gemilang dengan 11 bucu pada bintang dan 12 jalur, berbeza dengan rekaan rasmi bendera negara yang mempunyai 14 bucu dan 14 jalur mewakili keseluruhan negeri dan wilayah dalam Persekutuan Malaysia.

Kesilapan itu segera menarik perhatian netizen yang menyifatkannya sebagai penghinaan terhadap simbol negara, apatah lagi acara itu merupakan program besar peringkat negeri yang membawa imej parti Islam tersebut.

Dalam kenyataannya, Wu mengingatkan bahawa PAS sebelum ini pernah mengutuk keras pihak lain – termasuk akhbar, artis dan editor grafik – apabila berlaku kesilapan kecil berkaitan Jalur Gemilang. Ada antara mereka bahkan menyeru agar individu terlibat dilucutkan kewarganegaraan, digantung perkhidmatan, malah ada yang mencadangkan penutupan organisasi terlibat.

“Mereka pernah kata kesilapan bendera ini ‘tidak boleh dimaafkan’. Tapi sekarang, bila kesilapan datang dari pihak mereka, semuanya sunyi sepi,” katanya.

Wu turut menggesa semua ahli politik, termasuk dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, supaya tidak menggunakan isu teknikal sebagai senjata politik murahan, tetapi sebaliknya memberi tumpuan kepada perkara yang lebih besar seperti kesejahteraan rakyat, kos sara hidup, ekonomi dan perpaduan nasional.

“Sebagai ahli politik yang bertanggungjawab, kita sepatutnya berhenti bermain politik retorik. Kesilapan kecil tidak wajar dijadikan alasan untuk menjatuhkan orang lain,” tegasnya.

“Kita sepatutnya memimpin negara ke hadapan, bukan mengorbankan perkara lebih besar demi kepuasan politik semata-mata.”

Wu juga menasihatkan mana-mana pihak yang terlibat agar bertanggungjawab secara terbuka, membetulkan kesilapan, dan mengelakkan daripada menjadi “juara moral sementara” apabila keadaan menguntungkan mereka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat