CYBERJAYA — Gelombang sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar untuk jawatan Timbalan Presiden PKR semakin mengukuh apabila lima Ketua Cabang PKR dari Melaka tampil menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan beliau bagi sesi 2025-2028.
Memetik laporan Berita Harian Online, sokongan itu dinyatakan oleh Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Cabang Alor Gajah, Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan; Ketua Cabang Tangga Batu, Azlan Osman; Ketua Cabang Jasin, Jagatheason Ramiah dan Ketua Cabang Kota Melaka, Md Yusoff Ahmad.
Dalam kenyataan bersama, mereka menegaskan bahawa pencalonan Nurul Izzah bukan soal personaliti atau warisan semata-mata, sebaliknya berasaskan keperluan masa depan PKR sebagai parti politik progresif yang diyakini rakyat.
“Sejak awal, beliau sudah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi.
“Pengalaman beliau sebagai bekas Naib Presiden, Ahli Parlimen dua penggal serta pengiktirafan antarabangsa seperti disenaraikan dalam Project Syndicate Forward Thinkers List membuktikan kredibiliti beliau sebagai pemimpin,” kata kenyataan itu.
Tambah mereka, PKR memerlukan pemimpin yang mampu menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu, yang membawa nilai kesederhanaan, progresif dan berwawasan — dan Nurul Izzah dilihat memiliki ciri-ciri tersebut.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Cabang PKR Tapah, Azam Afandi turut mencadangkan dan menyokong penuh pencalonan Nurul Izzah bagi jawatan berkenaan.
“Sebagai pemimpin muda yang berprinsip dan berpengalaman, Nurul Izzah mampu membawa agenda perubahan yang jelas dan menyuntik semangat baharu dalam PKR.
“Pencalonan ini bukan soal warisan, tetapi soal memastikan masa depan PKR kekal relevan serta diyakini rakyat,” katanya, juga dipetik oleh Berita Harian Online.
Untuk rekod, Nurul Izzah sebelum ini mengumumkan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti yang dijadualkan hujung bulan ini. Jawatan Timbalan Presiden ketika ini disandang oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.