Pengarah Lembaga Peperiksaan, beberapa pegawai ditukar lepas isu Jalur Gemilang salah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Beberapa pegawai daripada Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM) didakwa telah ditukar minggu lalu, beberapa hari selepas insiden kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Memetik laporan Malaysiakini, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada sumber, termasuk seorang orang dalam kementerian, portal itu mengesahkan bahawa antara mereka yang terlibat dalam arahan pertukaran tersebut ialah Pengarah Lembaga Peperiksaan Roslan Abu Hassan.

Difahamkan, Roslan yang dilantik ke jawatan tersebut pada Oktober tahun lalu, telah dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki yang merupakan sebuah pusat latihan kepimpinan di bawah KPM.

Semakan turut mendapati timbalannya, Habibah Mat Rejab, telah dilantik sebagai pemangku pengarah pada 28 April, sementara menunggu pelantikan pengarah baru.

Menurut sumber, beberapa lagi pegawai lain dipercayai lebih daripada lima orang turut ditukar ke jabatan-jabatan lain di bawah kementerian itu.

Walaupun tempoh pertukaran ini berlaku hampir dengan peristiwa kesilapan bendera tersebut, masih belum ada pengesahan sama ada kedua-duanya ada kaitan secara langsung atau tidak.

Usaha mendapatkan komen daripada KPM, pejabat Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, serta beberapa pegawai tertinggi kementerian itu sejak minggu lalu tidak berjaya kerana mereka kekal mengunci mulut berhubung insiden itu.

Portal itu juga telah berulang kali cuba menghubungi Roslan.

Satu-satunya maklum balas yang diterima setakat ini adalah daripada Unit Komunikasi Korporat KPM yang menyatakan bahawa mereka tidak dapat memberikan sebarang ulasan.

“Setakat ini tiada komen kerana kes masih dalam siasatan,” kata ketuanya, Nurzali Ismail dalam satu pesanan ringkas.

Dia tidak menjawab pertanyaan sama ada mahu mengesahkan atau menafikan pertukaran tersebut.

Pada 24 April lalu, kementerian berkenaan menerbitkan Laporan Analisis SPM 2024 yang mengandungi beberapa imej.

Grafik tersebut menunjukkan sekumpulan pelajar di dalam bilik darjah, dengan Jalur Gemilang tergantung di dinding yang memaparkan dua bintang dan bukannya satu.

Bendera itu juga memaparkan lapan jalur merah-putih yang berselang-seli, bukan 14 jalur seperti sepatutnya.

Satu lagi gambar menunjukkan kelas kulinari dengan latar belakang Jalur Gemilang bersama simbol bulan sabit dan bintang yang salah.

KPM telah memohon maaf atas kesilapan tersebut dan menarik semula laporan itu pada hari yang sama, dengan menyatakan pembetulan sedang dilakukan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat