KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad tampil dengan idea bernas supaya orang Melayu kekal menghuni Kuala Lumpur.
Bekas Perdana Menteri itu mencadangkan projek pembaharuan Kuala Lumpur dibangunkan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji (TH) dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Akhbar tempatan melaporkan Melayu kekal di Kuala Lumpur. Saya berpendapat jika rakyat tidak bantah perancang merampas tanah milik orang Melayu, tidak akan ada dasar kerajaan mengekalkan Melayu di Kuala Lumpur.
“Rakyat tidak menentang pembaharuan bandar. Memanglah kawasan Melayu dengan rumah robek, berdinding papan reput dan bumbung zink karat perlu diperbaharui. Tetapi janganlah dengan menghalau penduduk Melayu sehingga bandar ternampak sebagai negara lain.
“Siapakah yang patut develop bangunan ini. Kuala Lumpur mengutip jumlah zakat yang terbesar. PNB mampu mendiri bangunan tertinggi 118 tingkat. Tabung Haji juga memiliki banyak modal. KWSP memiliki dana yang terbesar.
“Mereka ini semua boleh bangunkan kawasan Melayu yang hendak diperbaharui,” cadang Dr Mahathir.
Ujar beliau lagi, premis boleh dijual atau disewa dengan bayaran insuran yang rendah untuk masa yang panjang.
“Penduduk Melayu yang memiliki tanah atau rumah perlu dibayar ganti rugi yang adil. Dengan duit yang diterima mereka mampu beli rumah, atau kedai dan berniaga.
“Tidak ada pemberian yang percuma. Sedikit atau sebanyak mereka perlu bayar. Mereka perlu dilatih dalam bidang perniagaan.
“Mereka memang boleh urus perniagaan mereka. Jika tidak tahu mereka perlu sanggup dilatih sebelum memula perniagaan. Mereka mesti simpan akaun secara tertib,” jelasnya.
Menurut Dr Mahathir, pembangunan istimewa berbentuk Melayu boleh menarik pelancong dalam dan luar negara.
“Amat menyedihkan apabila pelawat asing dibawa ke Kampung Baru yang tidak mencermin kemajuan yang sudah dicapai oleh orang Melayu Kuala Lumpur,” luah beliau.
Berkongsi lebih lanjut, Dr Mahathir menyatakan sebenarnya ada cara membaharui kawasan Melayu supaya lebih sesuai dengan bandar moden tanpa merampas tanah orang Melayu.
“Kita lihat sebuah hotel yang moden (Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur / Resort Bon Ton, Langkawi) tetapi memiliki identiti kemelayuan.
“Terdapat ramai arkitek di Malaysia yang mampu mereka bentuk bangunan yang mempunyai bentuk dan ukiran Melayu. Bangunan sampai sepuluh tingkat pun boleh didirikan. Tingkat-tingkat boleh mempunyai flat mewah di tingkat atas, separuh mewah di tingkat menengah dan murah di tingkat bawah.
“Tingkat bawah boleh disedia kedai-kedai comel untuk peniaga kecil. Dinding boleh dilipat supaya dua atau tiga kedai disatukan. Ini sesuai untuk restoran.
“Perniagaan runcit yang semuanya berlainan boleh diadakan ditingkat bawah. Kedai-kedai comel ini boleh jual kraf tangan berlainan jenis. Ada yang diperbuat dari kayu yang diukir, barangan buluh, rotan, periuk belanga, perniagaan basikal dan motorsikal, barangan elektronik, komputer dan lain-lain termasuk kucing sebagai haiwan peliharaan. Kawasan gerai yang teratur perlu diadakan bagi peniaga jenis ini.
“Pada bulan puasa ramai orang Melayu terlibat dengan bazar Ramadan. Tidak ada sebab kenapa perniagaan makanan tertentu tidak boleh diadakan sepanjang tahun.
“Tingkat satu atas boleh dijadikan tempat pameran, batik, songket, kain tenun dari Sarawak dan Sabah, keris dan lain-lain.
“Barangan buatan Orang Asli juga boleh ditempatkan ditingkat dua. Ditingkat dua atau tiga boleh ada bowling alley dan lain-lain senaman,” syor beliau dalam catatan di media sosial pada Selasa.