SPRM mahu disokong kepercayaan rakyat bukan sekadar bebas campur tangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa kebebasan institusi dalam membanteras rasuah perlu disokong dengan kepercayaan awam dan sistem akauntabiliti yang kukuh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, bebas daripada campur tangan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya ia mesti membuktikan bahawa suruhanjaya ini layak menerima kepercayaan rakyat yang berkhidmat untuk mereka.

Menurut beliau, SPRM sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang digariskan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), khususnya Artikel 36 yang menggesa penubuhan badan penguatkuasaan anti-rasuah yang bebas dan profesional.

Menurutnya, pelaksanaan prinsip berkenaan turut berpaksikan kepada Pernyataan Jakarta yang menjadi rujukan utama dalam memastikan kebebasan, autonomi operasi serta ketelusan agensi anti-rasuah.

“SPRM telah menerima pakai prinsip ini bukan sekadar dari segi bentuk, tetapi juga dalam pelaksanaan melalui lima jawatankuasa pemantau bebas yang memastikan agensi kekal bertanggungjawab kepada rakyat, namun bebas daripada sebarang campur tangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025: Recalling Jakarta Statment lapor Utusan di Putrajaya pada Selasa.

Azam berkata, cabaran dalam membanteras rasuah hari ini semakin kompleks, melibatkan jenayah siber dan kewangan rentas sempadan yang memerlukan kerjasama serantau serta inovasi teknologi.

Katanya, SPRM komited memperkukuh usaha melalui reformasi perundangan, inisiatif pembangunan kapasiti, perluasan kerjasama antarabangsa serta penerapan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan rantaian blok bagi membanteras jenayah kewangan yang semakin canggih.

“SPRM juga menjunjung gagasan Malaysia Madani dengan menekankan nilai integriti, akauntabiliti dan keadilan sosial dalam tadbir urus negara,” jelasnya.

Azam turut menyifatkan penganjuran persidangan ini lebih bermakna apabila Malaysia bakal memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan, dengan tema Inklusiviti dan Kelestarian.

Sebagai sebahagian daripada komitmen serantau, Malaysia menerusi SPRM akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Ketua-Ketua ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21 pada Oktober 2025.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa perjuangan menegakkan integriti menuntut kewaspadaan yang berterusan, selaras dengan pesanan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman bahawa ‘harga bagi integriti ialah kewaspadaan yang kekal’.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat