Dalam industri pengurusan perjalanan haji yang semakin menuntut tahap perkhidmatan lebih tersusun, pilihan bakal jemaah tidak lagi hanya berkisar kepada harga pakej atau kategori hotel, sebaliknya turut melibatkan persoalan bagaimana sesebuah pengelola mampu mengurus perjalanan, kebajikan, bimbingan ibadah dan keperluan jemaah dari sebelum berangkat sehingga selesai fasa-fasa penting di Tanah Suci.
Menyedari perubahan keperluan tersebut, Glocal Travel & Tours Sdn Bhd (Glocal Travel) menyasarkan kira-kira 300 jemaah bagi musim Haji 1448H/2027M, dengan pendekatan yang menggabungkan perkhidmatan perjalanan, bimbingan ibadah, teknologi digital serta kemudahan yang disesuaikan mengikut kategori pakej.
Ketua Pegawai Eksekutif Glocal Travel, Mohd Idzham Mohd Isa berkata, bakal jemaah tidak seharusnya membuat pilihan hanya berdasarkan harga kerana nilai sesebuah pakej turut terletak pada aspek bimbingan, lokasi penginapan dan bentuk sokongan yang diterima sepanjang berada di Tanah Suci.

Menurut beliau, antara kesilapan yang sering berlaku ialah apabila jemaah terlalu menumpukan perhatian kepada harga tanpa melihat secara menyeluruh kelebihan yang ditawarkan, sedangkan bimbingan ibadah merupakan antara perkara utama yang akan menentukan pengalaman mereka ketika melaksanakan ibadah haji.
“Kalau kita hanya bergantung kepada harga tetapi tidak melihat dari sudut bimbingan, itu salah satu kesilapan yang selalu dibuat oleh jemaah haji,” katanya.
Bagi musim Haji 1448H, Glocal Travel menawarkan empat kategori pakej iaitu Elaf Eksklusif, Pullman Clock Tower ECO, Pullman Clock Tower Premium dan Pullman Private, dengan setiap kategori disusun berdasarkan tahap penginapan dan kemudahan yang berbeza bagi memenuhi keperluan pelbagai kelompok jemaah.
Mohd Idzham berkata, antara kelebihan yang ditawarkan ialah lokasi penginapan yang berhampiran dengan Masjidil Haram, termasuk hotel lima bintang sekitar 100 meter dari kawasan Clock Tower bagi kategori tertentu, sekali gus memberikan kemudahan kepada jemaah untuk bergerak ke masjid tanpa perlu menempuh perjalanan yang terlalu jauh.
Bagi musim Haji 1448H/2027M, Glocal Travel menyusun empat kategori pakej yang memperlihatkan usaha syarikat memenuhi segmen jemaah yang berbeza, daripada pilihan Elaf Eksklusif bermula RM53,900 seorang sehingga Pullman Private yang mencecah RM129,900 seorang untuk bilik berempat. Perbezaan harga itu hadir bersama variasi dari segi lokasi penginapan, tempoh perjalanan, kelas penerbangan dan tahap perkhidmatan yang diberikan, sekali gus meletakkan tawaran Glocal Travel bukan sekadar pada pilihan harga, tetapi pada pengalaman dan tahap pengurusan yang mahu diberikan kepada setiap kategori jemaah
Menurut Mohd Idzham, konsep tersebut memberi ruang kepada jemaah yang memilih pakej berkenaan untuk mendapatkan bantuan pergerakan yang lebih fleksibel, termasuk urusan ke lokasi tertentu seperti pusat membeli-belah, tempat makan atau kawasan ibadah.
Pendekatan itu, katanya, turut mengambil kira profil jemaah yang sudah biasa dengan tahap perkhidmatan tertentu dan mengharapkan pengalaman yang lebih tersusun ketika berada di Tanah Suci, khususnya bagi mereka yang memilih pakej premium dan persendirian.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kesemua pakej yang ditawarkan bukanlah sesuatu yang dibangunkan secara statik kerana Glocal Travel menjadikan pengalaman dan cabaran musim haji sebelumnya sebagai asas untuk melakukan penambahbaikan dari tahun ke tahun.
“Kita tengok tahun lepas apa cabaran dan bagaimana kita nak tackle. Kita akan olah pada tahun ini, jadi penambahbaikan itu kita akan ambil setiap tahun,” katanya.
Bagi Glocal Travel, kerjasama dengan hotel yang menjadi rakan strategik juga memberi kelebihan dari sudut operasi kerana sebarang keperluan jemaah boleh diselaraskan dengan lebih pantas bersama pihak pengurusan hotel, terutama apabila melibatkan jumlah jemaah yang besar dan tempoh perjalanan yang padat.
Selain penginapan dan logistik, satu lagi komponen yang semakin penting dalam pengurusan jemaah ialah teknologi. Glocal Travel memperkenalkan aplikasi Glocal Pilgrims Alert sebagai sebahagian daripada usaha memperkemaskan komunikasi dan pengurusan jemaah ketika berada di Makkah dan Madinah.
Aplikasi itu direka dengan penggunaan data yang minimum serta menyediakan fungsi seperti penyampaian maklumat, komunikasi dan butang kecemasan bagi memudahkan jemaah mendapatkan bantuan apabila diperlukan. Pendekatan tersebut dilihat amat relevan untuk jemaah warga emas yang mungkin tidak begitu biasa menggunakan aplikasi digital yang kompleks.
Mohd Idzham berkata, walaupun golongan muda semakin ramai menunaikan haji dan secara umumnya lebih celik teknologi, warga emas tetap menjadi kelompok yang memerlukan perhatian lebih daripada sudut pengurusan pergerakan dan keselamatan.
Justeru, fungsi aplikasi tersebut cuba diminimumkan kepada ciri yang mudah digunakan, termasuk butang SOS yang lebih jelas, supaya jemaah tidak perlu melalui proses yang rumit sekiranya mereka memerlukan bantuan.
Dalam aspek penjejakan lokasi pula, Glocal Travel mengambil pendekatan yang memberi perhatian kepada privasi jemaah. Fungsi GPS hanya boleh digunakan selepas mendapat persetujuan jemaah, manakala sistem pengurusan data pula dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan pematuhan terhadap PDPA.
Menurut Mohd Idzham, penjejakan lokasi bukan bertujuan untuk mengganggu privasi jemaah, sebaliknya menjadi salah satu mekanisme sokongan kepada petugas sekiranya berlaku keadaan seperti jemaah terpisah daripada kumpulan atau memerlukan bantuan di lokasi tertentu.
Namun begitu, teknologi bukanlah satu-satunya jawapan kepada cabaran pengurusan jemaah. Bagi Glocal Travel, aplikasi dan sistem digital hanya menjadi alat sokongan, manakala bimbingan manusia serta sentuhan petugas tetap menjadi sebahagian daripada perkhidmatan yang tidak boleh diketepikan.
Atas dasar itu, Glocal Travel turut membawa barisan pembimbing dan penasihat agama dengan latar pengalaman yang berbeza bagi memastikan jemaah mendapat panduan yang mencukupi sepanjang perjalanan. Antaranya ialah Dato’ Dr Ustaz Haji Badli Shah, YM Prof Ustaz Haji Tengku Aziz Raja Abdullah, Ustaz Haji Abdul Fatah Awang, Ustaz Haji Muhidin Mokter serta Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.
Setiap pembimbing mempunyai peranan tersendiri, sama ada dalam aspek hukum hakam, bimbingan ibadah, kaunseling mahupun persoalan khusus melibatkan jemaah wanita. Kehadiran pembimbing wanita juga memberi ruang kepada jemaah wanita untuk mengemukakan persoalan tertentu dengan lebih selesa, khususnya perkara yang mungkin sukar dibincangkan secara terbuka dengan pembimbing lelaki.
Mohd Idzham melihat pendekatan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha membina satu sistem sokongan yang lebih menyeluruh kerana jemaah bukan sahaja memerlukan kemudahan fizikal, tetapi turut memerlukan keyakinan terhadap ibadah yang dilaksanakan.
Dalam pada itu, Glocal Travel turut memberi penekanan kepada persediaan sebelum keberangkatan kerana perjalanan haji bukan hanya bermula apabila jemaah tiba di Arab Saudi. Persediaan ilmu, kesihatan, mental serta kefahaman mengenai perjalanan dan pergerakan perlu dibentuk lebih awal supaya jemaah tidak terlalu terbeban apabila tiba di Tanah Suci.
Dari sudut perkembangan perniagaan pula, Glocal Travel melihat peningkatan jumlah jemaah yang dikendalikan sejak penubuhannya sebagai petunjuk kepada pertumbuhan operasi. Mohd Idzham berkata, pada tahun pertama pihaknya menerima lebih 70 jemaah, sebelum jumlah itu meningkat kepada sekitar 150 jemaah pada tahun berikutnya.
Bagi musim Haji 1448H, syarikat itu menyasarkan untuk membawa sekitar 300 jemaah, iaitu kira-kira dua kali ganda daripada pencapaian musim sebelumnya. Bagaimanapun, proses pendaftaran dan tarikh berkaitan tetap tertakluk kepada pengumuman serta ketetapan Tabung Haji.
Pertumbuhan tersebut pada masa sama membawa tanggungjawab yang lebih besar kepada pengelola kerana setiap peningkatan jumlah jemaah bermakna semakin banyak aspek perlu diselaraskan, daripada penginapan dan pengangkutan hinggalah komunikasi, bimbingan agama serta kebajikan jemaah di lapangan.
Dalam konteks itu, strategi Glocal Travel bagi musim Haji 1448H bukan sekadar memperbanyakkan pilihan pakej, tetapi membina satu ekosistem perkhidmatan yang cuba menggabungkan kemudahan moden dengan pendekatan yang lebih dekat kepada keperluan manusia.
Teknologi boleh membantu petugas mengetahui kedudukan jemaah, sistem digital boleh mempercepatkan penyampaian maklumat dan hotel yang strategik pula mampu memudahkan pergerakan, tetapi semua itu tetap memerlukan manusia yang bersedia menguruskan keadaan apabila sesuatu yang tidak dijangka berlaku.
Bagi Mohd Idzham, perkara paling penting ialah memastikan jemaah dapat hadir ke Tanah Suci dengan persediaan yang mencukupi dan kemudian memberikan tumpuan kepada ibadah tanpa terlalu memikirkan urusan perjalanan yang berada di bawah tanggungjawab pengelola.
“Kita hanya menguruskan sahaja,” katanya, sambil menekankan bahawa matlamat utama pihaknya adalah membantu jemaah menyempurnakan ibadah dengan lebih tenang dan teratur.

Akhirnya, kejayaan sesebuah pakej haji mungkin tidak hanya terletak pada jumlah kemudahan yang disenaraikan atau nilai yang tertera pada brosur. Dalam sebuah perjalanan yang begitu besar maknanya kepada jemaah, ukuran sebenar turut hadir melalui sejauh mana mereka berasa dibimbing, dibantu dan dijaga ketika berdepan dengan kepenatan, perubahan jadual, kesesakan atau saat mereka memerlukan seseorang untuk menunjukkan arah.
Itulah ruang yang cuba diisi Glocal Travel bagi musim Haji 1448H menggabungkan pengurusan perjalanan dengan teknologi, menyediakan pilihan perkhidmatan mengikut kemampuan dan keperluan, serta memastikan bimbingan ibadah terus menjadi teras kepada pengalaman jemaah. Dalam dunia pengurusan perjalanan yang semakin digital, pendekatan tersebut menunjukkan bahawa walaupun teknologi mampu menghubungkan manusia dari jauh, dalam perjalanan menuju Tanah Suci, sentuhan manusia tetap mempunyai tempatnya sendiri.
Untuk maklumat penuh pakej Pakej Haji 1448H/2027M boleh layari laman web Glocal.com.my



